Raul Longhi Jdt

4 Perlawanan Berturut Di Tempat Lawan Tugas Berat Menanti Raul Longhi

Selepas pemergian Morais, JDT telah melantik Raul Longhi sebagai jurulatih sementara JDT. Raul Longhi telah bersama dengan JDT sejak tahun 2015 sebagai pembantu jurulatih kepada Mario Gomez. Raul Longhi tetap bersama JDT walaupun individu yang membawanya masuk sudah tiada lagi bersama JDT.

Selepas perlantikan Raul Longhi, kami telah melihat jadual perlawanan untuk pasukan JDT dan kami dapati 4 perlawanan pertama merupakan perlawanan ditempat lawan. Salah satu perlawanan merupakan pembukaan Piala FA. Jika Raul Longhi mahu terus kekal sebagai jurulatih JDT, 4 perlawanan memang perlawanan yang sukar buat dirinya.

1- Menentang pasukan Song Lam Nghe An di Vietnam

Seperti yang kita sudah sedia maklum, berdasarkan format yang baru, juara kumpulan atau tempat kedua terbaik sahaja akan melangkah ke peringkat kalah mati. Perlawanan ini merupakan perlawanan yang amat penting untuk menjarakkan lagi pungutan mata memandangkan pasukan ini juga mengumpul mata yang sama selepas perlawanan pertama.

JDT perlu cepat menyesuaikan diri dengan cuaca di Vietnam dan juga sesama pemain. Raul Longhi mempunyai masa yang sangat singkat untuk menghadapi perlawanan ini. Masa yang singkat inilah yang akan digunakan untuk berlatih plan taktikal yang mungkin baru untuk pemain. Mereka juga perlu membahagikan masa untuk latihan, perjalanan dan juga rehat bagi setiap pemain.

2- Menentang pasukan Sabah di Likas

Selepas selesai perlawanan di Vietnam, JDT perlu menghadapi Sabah untuk perlawanan Piala FA. Untuk musim ini, Piala FA menawarkan satu slot kelayakan ke Piala ACL 2019. Hanya tiga hari memisahkan perlawanan ini. Adakah Raul Longhi akan mengilirkan pemainnya untuk menghadapi Sabah?

Di atas kertas sememangnya JDT mempunyai kelebihan dari semua segi, namun Sabah yang bermain dihadapan penonton sendiri pastinya akan memberikan tentangan yang sengit. Kemungkinan juga faktor keletihan dan kekurangan perfahaman taktikal sesama pemain.

3- Menentang pasukan Tampines Rovers di Singapura

Lagi satu perlawanan piala AFC perlu dihadapi oleh Raul Longhi bertemu dengan Tampines Rovers di stadium Jalan Besar. Ini merupakan perlawanan ke-3 peringkat kumpulan. Tidak seperti perlawanan terdahulu yang memerlukan pemain menaiki kapal terbang, perjalanan ke Singapura hanya menaiki bas. Namun, ia masih dapat meletihkan para pemain.

4- Menentang pasukan Terengganu di Kuala Terengganu

Ini sememangnya perlawanan penting dan dinantikan oleh penyokong JDT. Perlawanan ini antara pasukan teratas dan kedua carta Liga Super 2018. Terengganu masih belum tewas selepas 4 perlawanan liga. Pastinya penyokong JDT mahukan 3 mata lagi dari perlawanan ini dan terus berada di atas Liga Super.

Tugas berat menanti Raul Longhi untuk menyediakan pemain yang benar-benar cergas untuk perlawanan ini. Pastinya kelebihan kepada tuan rumah dan mereka tidak mempunyai perlawanan di pertengahan minggu. Di sinilah kewibawaan Raul Longhi akan sekali lagi teruji. Liga Super musim ini amat penting buat JDT untuk menjadi pasukan Malaysia pertama beraksi di Piala ACL.

Kesimpulan

Pada pandangan kami, Paul Longhi perlu berjuang dengan masa dan pengaturan perlawanan jelas tidak memihak kepadanya. Masa yang singkat, kekurangan pemain import, sokongan pemain ke-12 dan semangat Larkin antara faktor yang boleh mempengaruhi keputusan empat perlawanan ini.

Pada masa yang sama, JDT mempunyai rekod yang buruk dalam perlawanan di tempat lawan musim ini. JDT kalah kedua-dua perlawanan ditempat lawan. Tetapi jika Raul Longhi dapat memperolehi kemenangan dalam keempat-empat perlawanan ini, kami bersetuju beliau terus dilantik menjadi ketua jurulatih JDT.

Baca juga: Fernando Punca Diaz ‘Angkat Kaki’


Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: