Jdt Mifa

90 minit yang penting buat JDT

JOHOR BAHRU: Hanya 90 minit aksi permainan hujung minggu ini mampu menentukan sama ada Johor Darul Ta’zim (JDT) boleh mempertahankan gelaran Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu.

Mereka akan menentang pendahulu kumpulan MIFA pada aksi terakhir Kumpulan C di Stadium Shah Alam, Ahad ini dan jika tewas, status selaku juara bertahan akan terlucut.

MIFA mengatasi Kedah dengan perbezaan jaringan sekalipun kedua-duanya mengumpul lapan mata, diikuti JDT di tangga ketiga dengan enam mata dan Kelantan lima mata, namun setiap pasukan masih berpeluang ke pusingan berikutnya jika menang.

Bagaimanapun, pengurus JDT, Luciano Figueroa tidak panik dengan situasi itu apabila Harimau Selatan berdepan skuad kendalian K Devan.

“Saya yakin dengan kemampuan pemain dan tidak perlu risau kedudukan dalam kumpulan walaupun selepas tewas 1-2 kepada Kedah kerana apa yang saya perlu lakukan ketika ini adalah memberi motivasi kepada mereka supaya beraksi mengikut kemampuan sebenar pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

“Kami sudah mencipta kejayaan memenangi Liga Super lima musim berturut-turut dan sudah tentu pasukan yang belum memenangi kejuaraan akan beraksi bersungguh-sungguh untuk melakar kejayaan.

“Tidak dinafikan saingan pada akhir musim amat sukar namun kami akan berusaha memberi persembahan terbaik pada aksi terakhir kumpulan dan cuba mara ke pusingan seterusnya,” katanya.

Figueroa yang juga ketua jurulatih JDT akan merancang strategi terbaik untuk menebus kekalahan 1-2 kepada MIFA pada perlawanan pertama mereka di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Bagaimanapun, beliau terpaksa melupakan khidmat tonggak pertahanan, Marcos Antonio yang digantung satu perlawanan selepas dilayangkan kad merah ketika menentang Kedah.

Kekebalan benteng pertahanan amat penting dan Fadhli Shas mungkin akan digandingkan dengan Aidil Zafuan Radzak atau Kiko Insa.

Apa pun perancangan Figueroa, JDT yang sering mendominasi perlawanan harus bijak menggunakan peluang dan menjaringkan gol bagi mengelak daripada tersingkir.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: