Minum Ais Boleh Gemuk

Ais Tak Salah, Kenapa Masih Ada Yang Berpegang Pada Mitos Ini, Baca Penjelasan Dr Rusyainie

Banyak pantang larang mengenai ais yang disebarkan di media sosial tanpa diketahui apakah benar atau sejauh mana kesahihannya itu? Kebanyakannya disebarkan oleh golongan peniaga produk yang tidak bertanggungjawab dan sengaja menyesatkan para pengguna agar membeli produk mereka.

Di bawah, Dr Rusyainie Ramli berkongsikan tentang mitos-mitos yang berkaitan dengan ais agar anda lebih faham dan tidak mudah terperdaya dengan dakyah golongan yang tidak bertanggungjawab. Semoga bermanfaat.

TEH o ais ini memang minuman kegemaran saya. Ais tak salah, yang salah ialah kandungan gula dalam air saya minum ini. Saya belum boleh minum air teh o tanpa gula. Teh ada kafein seperti kopi. Kafein kalau dalam dos sederhana boleh memberi mood yang lebih baik, membuatkan minda lebih cerdas dan meningkatkan metabolisma badan.

Teh adalah satu-satunya tumbuhan yang ada asid amino L-theanine. Yang dikatakan merangsang rasa tenang dan rileks. Staf saya kalau nampak saya dah muka merah geram semacam nak naik angin, cepat-cepat pergi belikan saya teh o ais nak sejukkan hati saya yang dah nak melenting.

Ais tidak akan membuatkan rahim saya kembang. Sudah 10 tahun rahim saya tak kembang. Hahaha! Rahim kembang sebab saya mengandung. Tak mengandung? Elok saja rahim saya duduk di tempatnya diam-diam.

Ais tidak akan membuatkan becak di kemaluan sebab saya minum air sejuk mengikut mulut. Tak tahulah kalau ada orang lain minum air mengikut saluran yang lain.

Ais juga tidak akan membuatkan abdomen saya buncit sebab air sejuk ini masuk saja di saluran makan, terus akan mengikut suhu badan. Air akan diserap ke dalam darah sistem badan melalui usus. Yang buncit di abdomen itu ialah lapisan lemak yang tersimpan. Nak hilangkan bunci itu perlu menjaga pemakanan dan bersenam.

Ais tidak akan membuatkan saya berasa letih atau penat. Letihlah menjadi bos di office, penat menguruskan keluarga, tidur pun kadang-kadang tak cukup, tetapi itu semua bukan disebabkan ais.

Ais tidak akan membuatkan haid berketul-ketul. Itu mitos. Haid itu dinding rahim yang luruh. Maka adanya tisu dan darah yang keluar ikut faraj. Dalam darah ada bahan untuk bekukan darah. Sebab itulah darah berketul. Cuba potong jari itu, keluar darah atas lantai. Mesti darah itu berketul punya kalau sistem pembekuan darah tiada masalah. Kalau tiada sistem itu, kita akan berdarah sampai kering. Nak?

Ais takkan buatkan anda senggugut. Merapu lagi. Senggugut itu perkara biasa terjadi dalam haid. Kalau teruk sangat atau berpanjangan, berjumpalah dengan doktor.

Ais takkan membuatkan vagina itu longgar. Itu auta tersebar bani jamu dan bani klimaks. Mereka sentiasa mahu menakutkan kita dengan ilmu sains songsang sebab hujungnya nak suruh kita membeli produk mereka yang kebiasaannya tidak berdaftar pun dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Buat senaman Kegel. Malas? Saya angkat bendera putih dengan orang malas.

Ais takkan membuatkan kita cepat tua. Cepat tualah kalau makan tak ingat dunia, berat badan lebih atau obes, malas senam, emosi tak tenteram, hisap rokok macam cerobong asap. Bila dah terkena penyakit kronik dan masih tak nak berubah, kualiti hidup takkan sama dah.

Ais takkan buatkan nanti sakit badan bila dah tua sebab tak pantang ais masa selepas bersalin. Tolonglah. Negara kita ini panas okay. Kasihan mak stress. Orang Melayu ini berialah mengikut segala petua semasa pantang. Elok habis berpantang, terus angkat kaki pergi mekdogol sebab nak buang gian. Itu dah kenapa?

Kita ini perlu menjaga kesihatan sepanjang hayat. Pantang sakanlah sangat 44 hari kemudian buat-buat lupa selepas itu. Nampak macam pantang itu membuta tuli mengikut saja tanpa tahu hujung pangkal.

Orang dulu buat petua ais ini sebab ais mahal sangat pada masa zaman mereka. Bukan semua orang mampu ada peti sejuk. Mereka pergi beli ais di kedai yang dipotong menggunakan gergaji dan pikul bawa balik ke rumah. Zaman sekarang dah tak relevan, kita kan dah belajar sains. Kenapalah masih ada yang berpegang pada mitos ais ini? Kasihan ais, ais tak salah.

Tolong tepek pautan status saya ini di bani jamu, klimaks dan suku sakat mereka kalau mereka masih menbongak tentang ais. Rimas betul saya dengan cerita rekaan mereka.

Sumber: Dr. Rusyainie Ramli

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *