Sarapan Anak Suka

Anak Gerenti Suka 6 Jenis Sarapan Ini Mak-Mak Wajib Buat Di Hujung Minggu

Mak-mak selalu pening kepala fikir apa makanan yang anak suka bawak bekal ke sekolah betul tak? Jangan give up, ini ada enam menu yang admin share untuk mak-mak semua. Mudah je nak buat dan anak gerenti suka sebab sedap dan tak pedas. Cuba dulu ye kalau ok nanti admin share lagi idea nak masak apa.

Yang penting cuba dulu

PASTA SPIRAL DRAGON BALL

BAHAN- BAHAN :

  • 200gm pasta spiral
  • 150gm isi ayam
  • 350gm tomato
  • 1 sudu makan pes tomato
  • 2 helai daun salam
  • 50gm batang saderi | hiris nipis
  • 20gm bawang putih | cincang
  • 100gm bawang merah | cincang
  • 2 sudu teh madu
  • Lada sulah secukupnya
  • Daun basil dan oregano secukupnya | cincang
  • Garam secukup rasa
  • Air dan ais secukupnya
  • Minyak masak secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Rebuskan pasta spiral di dalam air yang mendidih selama 5 minit. Kemudian angkat dan siram dengan air sejuk. Toskan.
  2. Untuk membuat bebola ayam; Isi ayam digaul bersama dengan bawang merah cincang, bawang putih, basil, oregano, madu, garam dan lada sulah hingga sebati. Kemudian dibentuk menjadi bulat.
  3. Cara membuat sos: Tomato dibelah empat dan direbus. Kemudian angkat dan masukkan ke dalam ais. Buang biji dan cincang hingga halus.
    Selepas itu tumis bawang putih sehingga kekuningan, masukkan bawang merah dan batang saderi serta basil, oregano, daun salam dan pes tomato. Kacau hingga pecah minyak.
  4. Kemudian masukkan isi tomato yang dicincang halus dan kacau hingga mendidih.
  5. Selepas itu masukkan bebola ayam, garam, lada sulah dan biarkan seketika.
  6. Kemudian angkat dan masukkan ke dalam bekas anak.

AYAM TINJU

BAHAN-BAHAN:

  • 5 ketul kepak ayam
  • 50gm serbuk roti
  • 1 biji telur | dipukul
  • 1 sudu makan jus limau nipis
  • 1 sudu teh lada hitam | ditumbuk kasar
  • 1 sudu teh lada sulah
  • Garam secukup rasa
  • Minyak untuk menggoreng

HIASAN:

  • Daun salad secukupnya
  • Kertas aluminium secukupnya
  • Cili Benggala
  • Sedikit sos mustard
  • Sedikit buah zaitun

CARA MEMASAK:

  1. Kepak ayam dipatahkan dua di bahagian tengahnya. Kemudian ambil bahagian yang mempunyai banyak isi. Kikis dan terbalikkan isinya ke atas. Biarkan tulang di bahagian bawahnya.
  2. Seterusnya perap ayam dengan lada sulah, lada hitam, jus limau nipis dan garam. Biarkan seketika.
  3. Setelah diperap, celupkan ayam ke dalam bancuhan telur dan salut dengan serbuk roti. Lakukan sehingga habis.
  4. Akhir sekali, panaskan minyak dan goreng sehingga masak atau bertukar warna kuning keemasan.
  5. Angkat, toskan. Masukkan ke dalam bekal anak dan hias mengikut kreativiti sendiri. Misalnya balut tulang ayam dengan kertas aluminium dan cili benggala dibentukkan seperti lady bird.

MAKARONI BAKAR BERKEJU

BAHAN-BAHAN:

  • 250gm makaroni | rebus dan tos
  • 100gm daging kisar
  • 1 biji tomato | buang biji dan dadu kecil
  • 150gm parutan keju mozarella
  • 1 sudu makan serbuk oregano
  • 4 sudu makan sos balognes
  • 2 sudu makan sos cili
  • 2 ulas bawang putih | cincang halus
  • 1/2 biji bawang Holland | cincang halus
  • 3 sudu mentega
  • Garam dan gula secukup rasa

BAHAN SAMPINGAN:

  • Buah Epal
  • Tomato ceri
  • Salad

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan mentega dalam kuali, tumiskan bawang merah dan putih hingga wangi.
  2. Masukkan daging kisar, kacau hingga daging bertukar warna.
  3. Seterusnya masukkan pula sos balognes dan sos cili, Kacau rata, kemudian masukkan makaroni dan tomato yang didadu halus.
  4. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  5. Tutup api.
  6. Panaskan ketuhar pada suhu 200C.
  7. Sementara itu masukkan makaraoni dalam cawan aluminium foil.
  8. Taburkan di atasnya parutan keju dan serbuk oregano.
  9. Bakar lebih kurang 15 minit.
  10. Setelah siap, sedia dibawa untuk bekal.

CUCUR NASI BERKENTANG

BAHAN-BAHAN:

  • 1 cawan nasi putih | kisar dengan sedikit air
  • 2 biji kentang | rebus dan lenyek
  • 1 cawan tepung gandum
  • Sedikit hirisan daun bawang
  • Sedikit hirisan cili benggala merah
  • 1 sudu teh serbuk perasa ayam
  • Sedikit garam
  • Minyak untuk menggoreng

BAHAN SAMPINGAN:

  • Ayam goreng
  • Sos Cili Thai
  • Salad
  • Tomato Ceri

CARA MEMASAK:

  1. Campurkan nasi yang telah dikisar bersama kentang lenyek dalam mangkuk adunan.
  2. Gaul rata, tambahkan hirisan daun bawang dan cili Benggala, serbuk perasa ayam dan garam secukupnya.
  3. Gaul lagi dan tambah tepung sedikit demi sedikit sehingga menjadi bancuhan cucur yang sesuai.
  4. Panaskan minyak, goreng hingga kekuningan.
  5. Boleh dihidangkan cucur ini dengan Sos Cili Thai dan ayam goreng sebagai bekal.

CHICKEN & RICE PATTIES

BAHAN-BAHAN:

  • 200gm isi dada ayam | rebus dan carik-carik
  • 1 cawan nasi | kisar kasar
  • 2 biji telur
  • ½ cawan susu segar
  • 2 sudu makan keju pemersan
  • Sedikit parutan lobak merah
  • Sedikit hirisan daun bawang
  • 1 sudu teh serbuk lada sulah
  • 1 sudu the serbuk pati ayam
  • Garam secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan ketuhar dengan suhu 180C.
  2. Campurkan nasi, isi ayam, parutan lobak merah, daun bawang.
  3. Gaul rata dan ketepikan.
  4. Pecahkan telur dalam mangkuk, kacau rata. Kemudian masukkan susu dan kacau lagi hingga sebati.
  5. Perasakan dengan serbuk lada sulah, serbuk pati ayam dan garam secukup rasa.
  6. Tuangkan di dalam mangkuk berisi bahan campuran tadi.
  7. Taburkan keju pemersan dan gaul sebati.
  8. Masukkan dalam acuam muffin dan bakar lebih kurang 20-25 minit.
  9. Sedia dihidangkan bersama sambal cili.

SPAGETI GORENG

BAHAN-BAHAN:

  • 1 mangkuk spageti/linguine (yang telah dicelur)
  • 2 batang jejari ketam | potong kecil
  • 8-10 ekor udang sederhana |bersihkan
  • 5-6 biji cili padi | hiris halus
  • 3 ulas bawang putih |cincang halus
  • 1 sudu makan cili kisar
  • 1 sudu makan sos tiram
  • 1 sudu makan cincangan daun bawang
  • Garam dan lada sulah secukup rasa
  • Minyak zaitun secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan sesudu makan minyak di dalam kuali. Tumis bawang putih hingga wangi.
  2. Masukkan cili kisar, cili padi, jejari ketam dan udang. Tumis hingga semua bahan masak.
  3. Masukkan sos tiram, spageti yang telah dicelur dan hirisan daun bawang. Tumis hingga semua bahan sebati.
  4. Tambah garam dan lada sulah secukup rasa.
  5. Angkat dan sedia dinikmati.
Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: