Ayam Engkong

Ayam Engkong Digemari Sultan Johor

Kepelbagaian juadah yang dijual semasa Ramadan memberi pelbagai pilihan dari segi cita rasa. Baik yang tradisi mahupun moden segalanya mudah didapati. Begitu juga dengan hidangan tradisi istimewa orang Jawa khususnya di Pontian iaitu ayam engkong.

Kamal Ibrahim Wardi, 51, yang merupakan pengusaha ayam engkong di Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi mengakui Ramadan memberi rezeki buatnya untuk mengembangkan lagi perniagaan.

Dengan menggunakan media sosial seperti Facebook, ayam engkong ditempah penduduk dari luar Pontian seperti Batu Pahat, Kulai dan Johor Bahru sekali gus membuktikan ayam engkong digemari sehingga adakalanya tempahan mencecah hampir 40 ekor ayam.

Kamal yang dibantu isteri, Hamilah Mohd Amin, 50, mementingkan kualiti dalam penyediaan ayam engkong agar keenakan dapat dikekalkan.

[AdSense-B]

Perkataan engkong bermaksud muafakat

Ditanya maksud perkataan engkong dalam bahasa Jawa, Kamal menjelaskan engkong merujuk kepada muafakat.

Kamal yang merupakan Ketua Kampung Kawasan (8) Ayer Baloi berkata, masyarakat Jawa penuh dengan budaya dan amat menghormati pemimpin atau orang lebih tua.

Oleh itu, ayam engkong hanya disajikan kepada pemimpin seperti imam dan ketua-ketua kampung suatu masa dahulu.

“Biasanya, apabila tuan rumah ada hajat, mereka akan buat kenduri kesyukuran dan masak ayam engkong.

“Hidangan istimewa ayam engkong akan diberikan terlebih dahulu kepada imam dan ketua kampung.

“Selepas imam dan ketua kampung merasa, barulah diberikan kepada anak-anak buah,” katanya.

Kamal turut menjelaskan, ayam engkong tidak dipotong berbeza dengan ayam ungkep.

“Senang cerita, ayam engkong dimasak seekor tanpa dipotong. Jadi, ayam engkong kelihatan lebih besar dan menarik.

“Berbeza dengan ayam ungkep yang dipotong beberapa bahagian dan kemudiannya dimasak,” katanya.

Menu pilihan sewaktu KMJ2015

Ayam engkong bukan sekadar hidangan istimewa orang Jawa, tetapi turut digemari Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sewaktu Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2015 singgah di Gerai Rakyat, Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi.

Menurut Kamal, dia tidak menyangka ayam engkong mendapat pujian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Saya makan bersama Sultan Ibrahim ketika itu. Sultan Ibrahim minta ayam engkong ditambah lagi. Tidak sangka dapat pujian dari Sultan Ibrahim,” katanya.

[AdSense-B]

Jelasnya, hidangan ayam engkong bagi KMJ2015 itu disediakan secara rewang bersama penduduk kampung.

Bertitik-tolak dari pujian yang diterima itu, Kamal seterusnya mengatur langkah untuk mengkomersialkan ayam engkong dengan membuka tempahan di sekitar daerah Pontian.

“Alhamdulillah, ramai yang hendak mencuba ayam engkong. Tempahan banyak diterima dari majlis-majlis keraian dan rasmi.

“Saya juga pernah terima tempahan 40 ekor ayam engkong untuk sambutan Hari Raya Aidiladha,” katanya.

20 bahan masakan ayam engkong

Isterinya, Hamilah memberitahu, anggaran 20 bahan masakan seperti ketumbar, jintan halus, jintan kasar, serai, halia, santan dan pelbagai lagi bahan digunakan untuk memasak ayam engkong.

Katanya, hanya ayam kampung dan ayam tua sahaja yang boleh digunakan untuk masakan ayam engkong kerana perlu melalui merebus yang agak lama.

“Jika dulu proses merebus ayam memakan masa agak lama, tetapi kini periuk tekanan digunakan bagi memudahkan ayam cepat lembut,” katanya.

Jelasnya, selepas ayam lembut dan masak, bahan-bahan rempah yang telah dikisar akan dimasak bersama ayam.

“Proses menggaul ayam bersama rempah perlu dilakukan berhati-hati supaya ayam betul-betul menyerap rempah,” katanya.

[AdSense-B]

Pelihara tradisi orang Jawa

Bagi Kamal, dia mahu menu tradisi ayam engkong terus dikenali dan disajikan terutama bagi generasi muda.

Katanya, menu hidangan “ayam engkong” bukan sahaja enak dan mempunyai rasanya tersendiri, tetapi ayam engkong sebenarnya melambangkan budaya masyarakat orang Jawa yang bermuafakat dan bersatu hati.

Sumber: Sinar Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: