Newyork5 1536

Betul Ke Anak Akan Jadi Derhaka Bila Mak Ayah Habiskan Makanan Mereka?

Kenapa ya ada orang cakap tak elok kalau kita makan lebihan makanan anak-anak yang tak habis dimakan? Aku sayang tengok makanan tu. Membazir je!”

Sebagai ibu atau ayah, kita selalunya akan menghabiskan makanan anak-anak. Bimbang ia akan membazir. Bukankah pembaziran itu amalan syaitan. Ada pendapat mengatakan ia tidak baik kerana anak-anak berkecenderungan untuk tidak menghormati ibu bapa bila dewasa kelak. Benarkah kenyataan tersebut?

Hakikatnya menghabiskan lebihan makanan adalah satu tindakan yang terpuji dalam Islam. Anas bin Malik r.a. menerangkan: Apabila Rasulullah S.A.W makan, baginda menjilat jari-jarinya tiga kali.

Baginda juga bersabda: Jika sesuatu makanan kalian jatuh, hendaklah (dia mengambilnya) dan membersihkan apa-apa kotoran yang melekat padanya lalu memakannya. Janganlah meninggalkannya untuk syaitan.

Ini kerana kalian tidak tahu di bahagian manakah pada makanan kalian terdapat keberkatan. (Shahih Muslim, no:2034).

Jika dilihat daripada mata kasar, perbuatan tersebut dapat mendidik anak daripada suka membazir. Usaha baik sedemikian akan melahirkan sikap hormat mereka kepada ibu bapa mereka.

Sebenarnya tidak ada sandaran atau dalil Sahih dari Al-Quran dan As-Sunnah , bahawa memakan lebihan makanan anak-anak akan menyebabkan anak tersebut tidak akan menghormati ibu bapanya bila dewasa kelak. Kepercayaan tersebut mungkin berasal daripada pegangan orang tua-tua dahulu yang lebih bersandarkan kepada logik akal dan adat setempat.

Malahan, sesungguhnya ibu bapa yang menghabiskan lebihan makanan anak-anaknya itu dianggap satu perbuatan yang baik dan terpuji lantaran tidak mahu termasuk dikalangan orang-orang yang membazir.

Apa yang terbaik ialah dengan mendidik dan mengajar anak-anak kita agar membiasakan diri untuk menghabiskan setiap makanan yang dimakan dan menjauhi sifat membazir yang merupakan amalan syaitan.

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: