Boys Of Straits

Boys Of Straits Mahu Gegar Shah Alam

 

Lebih 4,000 penyokong setia Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menggelarkan diri mereka Boys Of Straits (B.O.S) akan menggegarkan Stadium Shah Alam selaku pemain ke-12 dalam pertembungan menentang Kedah pada aksi final Piala Malaysia, Sabtu ini.

Lebih menarik, kali ini B.O.S berjanji untuk memberikan kejutan kepada penyokong dan pemain di stadium dan akan sentiasa memberi sorakan padu sebaik wisel permainan ditiupkan sehingga tamat perlawanan.

“Untuk final di Shah Alam, saya menjangkakan lebih 4,000 komrad (penyokong) dari 10 daerah di Johor, satu kumpulan dari utara dan paling istimewa kami dapat kumpulkan penyokong JDT dari Singapura.

“Pembabitan penyokong B.O.S dari Singapura adalah pertama kali dan sesuai dengan kehendak pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyifatkan pasukan ini untuk semua (JDT for all).

“Kami ada buat sesuatu yang mungkin akan memberi kejutan kepada semua penyokong di stadium, selain itu kami cuba membabitkan 30,000 penyokong JDT dalam stadium untuk turut serta memeriahkan malam final nanti,” kata jurucakap B.O.S, Farahin Johar, hari ini.

Kehadiran B.O.S yang sebelum ini sentiasa mengikuti pasukan dalam setiap perlawanan termasuk di Tajikistan, Jepun, Hong Kong dan Kuwait sememangnya diakui antara pemangkin semangat buat pemain Harimau Selatan melalui sorakan tanpa henti sepanjang permainan.

Farahin, 34, berkata, sebagai penyokong mereka mengharapkan pemain JDT dapat membawa pulang trofi itu selepas kali terakhir 1991.

“Kami menyokong apa yang TMJ cakap, piala ini bukan keutamaan kepada rakyat Johor.

“Bagi kami, kalau menang, ia satu bonus untuk JDT kerana ada dalam senarai pemenang Piala Malaysia, kalau kalah pun tak jadi masalah kerana kami B.O.S diwujudkan untuk sentiasa bersama pasukan tak kira menang atau kalah,” katanya.

Selain itu, Farahin menyeru semua penyokong tidak melakukan sebarang provokasi dan menjaga nama baik pasukan dan TMJ kerana ia sekadar permainan bola sepak.

Baginya, perlu wujud semangat kesukanan ketika menyokong pasukan masing-masing yang beraksi pada final nanti.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: FAM Masih Merahsiakan Pengadil Final Piala Malaysia


Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: