Hazwan Bakri Vs Kedah

Bukan Badi, Tapi Azimat – Hazwan Bakri

Momokan bahawa pemain muda yang menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal sekadar menjadi pemanas bangku simpanan perlu disambut dengan tindak balas positif jika mereka mahu berjaya.

Malah penyerang kebangsaan, Hazwan Bakri berkata, tanggapan negatif itu yang dianggap ‘badi’ sepatutnya ditukarkan menjadi azimat.

“Sebenarnya terpulang kepada setiap pemain bagaimana mereka menangani isu berkenaan. Jika mereka terikut-ikut dengan tanggapan negatif itu sudah tentu hasilnya kelak juga negatif.

“Tapi, jika kami sebagai pemain sentiasa berfikiran positif dengan menerima kata-kata itu sebagai cabaran, saya yakin kami boleh berjaya.

“Saya sendiri menerima reaksi yang serupa daripada banyak pihak apabila menyatakan pendirian untuk menyertai JDT pada musim ini.

“Begitu pun, saya tidak pernah termakan dengan kata-kata itu sebaliknya mencabar diri sendiri untuk membuktikan kemampuan. Saya sentiasa yakin apa pun berlaku kepada saya, pokok pangkalnya terletak kepada diri sendiri,” ujar Hazwan.

Setakat ini, dua pemain skuad Bawah 23 tahun negara, Adam Nor Azlin (Selangor) dan Syamel Kutty Abba (Pulau Pinang) menyertai pasukan itu sambil dua lagi penyerang muda, Syafiq Ahmad (Kedah) dan Syahrel Fikri Md Fauzi (PKNP) dijangka menyusul.

Hazwan Bakri, bekas pemain Kuala Lumpur dan Selangor mengakui saingan di JDT terlalu sengit berbanding pasukan lain namun menganggap suasana sebegitu bagus untuk meningkatkan prestasi.

“Memang di JDT pemain perlu menggandakan usaha untuk merebut tempat kerana ia dibarisi oleh pemain berkualiti. Tapi, hakikatnya, jika mahu berjaya, kita memang perlu bersaing dengan orang yang bagus.

“Saya sendiri sentiasa bekerja keras dengan melakukan latihan tambahan. Selain itu, saya selalu berbincang dengan jurulatih bagaimana cara untuk meningkatkan lagi permainan saya,” kata penyerang kelahiran Labuan itu.

Sumber: Berita Harian


Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *