Hafizul Hakim

Bukan Takut, Hanya Gemuruh Jumpa JDT – Hafizul Hakim

 

Perasaan gemuruh tetap menyelubungi penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak, Ahad ini.

Bagaimanapun, penjaga gol berusia 24 tahun terbabit enggan perasaan gemuruh berkenaan menjejaskan fokusnya di atas padang dengan dia bersedia sepenuhnya untuk menjadi benteng terakhir The Bos Gaurus pada aksi penting itu.

[AdSense-B]

“Sebagai penjaga gol muda, sudah pasti perasaan gemuruh itu ada, apatah lagi perlawanan Ahad ini adalah aksi separuh akhir Piala Malaysia. Ia memberikan satu suasana yang begitu berbeza berbanding aksi Liga Super yang diharungi sebelum ini.

“Saya tidak takut (untuk beraksi) tetapi ia lebih kepada perasaan gemuruh sahaja. Namun, pengalaman beraksi di pentas antarabangsa memang banyak membantu saya membentuk ketenangan diri menjelang aksi besar seperti ini.

“Apapun, saya perlu pastikan perkara ini tidak akan mengganggu saya daripada memberikan persembahan yang terbaik Ahad nanti. Saya juga mengharapkan rakan sepasukan dapat memberikan yang terbaik untuk membantu Perak mencapai kemenangan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Perak, Ipoh, hari ini.

Prestasi cemerlang penjaga gol muda itu nyata menarik perhatian pengendali skuad kebangsaan, Nelo Vingada yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk menjaga gawang skuad Harimau Malaya ketika menentang Hong Kong pada aksi Kelayakan Piala Asia 2019.

[AdSense-B]

Mengulas lanjut mengenai skuad Harimau Selatan yang dibimbing Ulisses Morais itu, Hafizul menuntut rakan sepasukannya agar tidak terlalu memandang tinggi pasukan lawan kerana baginya, Perak juga pasukan yang baik dan mampu untuk memberi cabaran.

“Bukanlah kita tidak menghormati JDT kerana kita tahu JDT sememangnya pasukan yang hebat tetapi kita tidak perlu merendah diri kerana kita juga memiliki kehebatan yang tersendiri.

“Kita memerlukan kemenangan supaya kita memiliki kelebihan pada aksi kedua. Apa yang lebih penting, saya perlu memastikan gawang Perak tidak dibolosi,” katanya

Sumber: Berita Harian

Baca juga: Saya Ingin Julang Piala Malaysia Sebagai Koleksi Piala Ketiga Tahun Ini – Natxo Insa

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: