Bunyamin

Bunyamin: Waspada ‘Dendam’ JDT

Pertemuan di antara Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam suku akhir Piala FA 2018 tidak mengejutkan pertahanan skuad Tok Gajah, Bunyamin Omar, yang menganggap peluang terbuka kepada kedua-dua pasukan untuk mara ke separuh akhir.

Ia merupakan pertembungan yang pastinya dinantikan apabila bakal mengulangi pertemuan kelompok lapan terakhir pada musim lalu yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Pahang dengan agregat 4-3 ke atas JDT.

Bunyamin, yang tidak ketinggalan untuk hadir dalam undian berkenaan petang tadi, tidak terkejut sambil menyifatkan ia bakal menjadi satu perlawanan cukup sengit di mana JDT pastinya ingin melunaskan dendam di atas kegagalan mereka musim lalu.

Justeru, bekas pemain Selangor itu mengharapkan sentuhan Dollah Salleh dalam merangka perancangan tertentu buat finalis edisi 2017 itu sekali lagi mengatasi skuad Harimau Selatan, musim ini.

“Saya yakin Pahang mampu melangkah jauh berbekalkan prestasi terbaik yang dilalui setakat ini.

“Kejutan mampu dilakar ke atas JDT, saya yakin,” kata Bunyamin.

Turut mencuri tumpuan adalah aksi pertembungan setempat lembah Klang di antara Kuala Lumpur dan Selangor.

Keghairahan Kuala Lumpur yang kali terakhir meraih kejuaraan Piala FA pada tahun 1999 untuk cuba mengulangi saat itu pada edisi tahun ini harus dipandang serius skuad Red Giants.

“Bagi saya, Selangor dan Kuala Lumpur memiliki sejarah tersendiri. Kami tidak akan mengambil mudah dan pasti ia akan menjadi aksi sengit,” ujar kapten Selangor, Mohd Razman Roslan.

Sumber: Stadium Astro

Baca juga: Undian Suku Akhir Piala FA 2018, JDT Bertemu Dengan Pahang


Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: