Gonzalo Cabrera Piala Malaysia 2017

Cabrera Kembali Perkuatkan JDT Menentang Kedah

Johor Darul Ta’zim (JDT) melengkap kuota import Asia selepas menyenarai Gonzalo Cabrera untuk beraksi berdepan Kedah pada aksi Piala Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Pengendali JDT, Ulisses Morais mengesahkan Cabrera yang pernah beraksi untuk skuad Harimau Selatan akan diturunkan dan akan menguatkan posisi serangan bergandingan bersama Luciano Figueroa dan Jorge Pereyra Diaz.

“Ya. Cabrera akan beraksi untuk JDT dan saya amat bangga dengan kehadiran semula pemain itu kerana dia akan menguatkan lagi jentera serangan untuk berdepan Kedah.

“Bagaimanapun, bukan Cabrera yang akan mencorakkan permainan JDT, sebaliknya kesemua pemain pasukan itu yang akan diturunkan memainkan peranan penting bagi memburu kemenangan pertama dalam aksi pembuka tirai Liga Super,” katanya.

Difahamkan Cabrera yang pernah menyertai kelab, Al-Faisaly beraksi di Liga Arab Saudi sebelum menyerrai JDT pada musim lalu memiliki pasport Iraq dan tidak berdepan masalah untuk didaftarkan sebagai pemain import bagi kuota Asia.

Mengulas persiapan skuad Harimau Selatan pada aksi Piala Sumbangsih, Morais menyifatkan selepas kekalahan kepada Muangthong United pada aksi pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia, baru-baru, moral pemain tampak kembali meningkat dan bersedia untuk aksi pertama liga.

Katanya, fokus utama terarah untuk memburu kemenangan tatkala beraksi di laman sendiri malah setiap pemain juga tahu apa yang perlu dilakukan kerana keinginan memulakan kempen liga dengan langkah kanan menjadi misi utama JDT.

“Mengenai siapa yang akan beraksi di posisi pertahanan sama ada Marcos Antonio atau Bruno Soares, saya hanya akan putuskan esok dan enggan mendedahkan lagi pemain mana yang akan beraksi.

“Kedah adalah pasukan hebat dan kita tidak anggap mudah pada perlawanan itu malah saya jangkakan ia aksi sukar dan berintensiti tinggi namun kami akan beri fokus melebihi 100 peratus untuk buru kemenangan,” kata Morais.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: Safiq Tak Anggap Aksi Mudah Menentang Kedah


Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *