Dadih Susu Sedap

Cara Buat Dadih Susu Sedap Macam Pasar Malam. Serius Mudah & Berkali Ganda Jimat

“Dulu-dulu kalau pergi pasar malam mesti nak beli dadih. Favourite tuuu… Pantang jumpa mesti nak beli! Tapi sekarang ni macam susah je nak jumpa orang jual dadih…”

Sedapnya makan dadih susu yang biasa jumpa dekat pasar malam tu kan? Rasa yang lemak berkrim, dengan teksturnya yang lembut dan cair di mulut. Dapat pula makan sejuk-sejuk. Fuh, rasa macam tak cukup satu! Bukan anak-anak saja yang suka, mak ayah dia pun sama juga.

Sekarang ni dah macam-macam makanan yang dijual di sana sini, tapi rasa macam dah jarang nak jumpa orang jual dadih. Kalau ada pun sekarang harganya boleh tahan juga. Satu cawan kecil pun dah boleh cecah RM2.

Apa kata kita cuba buat sendiri di rumah. Caranya mudah sangat kalau ikut resepi dadih susu yang dikongsikan oleh Puan Niswah Hasina ini.

Kos bahan pun jimat, tak sampai RM8 dah boleh dapat lebih kurang 15 cup dadih susu. Maksudnya secawan baru RM0.50 kan? Berapa kali ganda punya jimat tu…

Cuma bermodalkan secebis kerajinan, berbaloilah sangat kalau nak makan ramai-ramai dan ulang-ulang banyak kali. Lagipun bahannya pun semua senang nak cari. Jangan buang masa lagi, jom tengok resepi dadih susu yang segar dan sure sedap ni.

RESEPI DADIH SUSU YANG MUDAH, SEDAP & JIMAT

Berikut adalah senarai bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat dadih susu.

BAHAN-BAHAN

  • 1 liter susu kotak apa-apa jenama (harga dalam RM4.60)
  • Agar-agar tali 20g (harga lebih kurang RM2.80) Guna 1/3 saja.
  • Gula ikut suka tahap kemanisan masing-masing
  • Garam secubit.
  • Air masak / air tapis lebih kurang 1 liter (untuk masak agar-agar tali)

*Contoh gambar pek agar-agar tali yang dijual di kedai.

CARA-CARA

1. MASAK AGAR-AGAR

  • Mula-mula, ambil 1/3 daripada agar-agar tali yang dalam paket tu. Yang lagi 2/3 simpan. Lain kali nak buat boleh guna lagi. Bubuhkan agar-agar tali tu dalam periuk. Masukkan 1 liter air bagi tenggelam. Buka api dapur dan masak hingga agar-agar tali tu larut.

2. MASUKKAN SUSU, GULA & GARAM

  • Bila agar-agar dah larut, masukkan susu kotak tu semua sekali. Kemudian perasakan gula dan garam secukupnya.Kalau nak dapat tekstur cantik, tak payah tunggu mendidih. Cukup bagi panas je sampai naik wap panas. Sebab tu dekat atas tu tadi tulis 1 liter air tapis atau air yang dah dimasak. Jadi tak payah nak tunggu mendidih.

3. TAPIS & SEJUKKAN

  • Lepas tu biar sejuk sikit dan bolehlah ditapis sebelum dimasukkan ke dalam bekas.

  • Dengan menggunakan 1/3 agar-agar tali dan 1 kotak susu seliter ni, dapatlah lebih kurang 15 cup.

4. BUBUH DALAM BEKAS & SEJUKKAN

  • Akhir sekali, tuang dalam bekas satu-satu.Tunggu dia keras sikit dan bolehlah simpan dalam peti sejuk. Siap!

BOLEH PELBAGAIKAN PERISA

Haa mudah kan? Memang sedap je masuk mulut sebab teksturnya sangat lembut.Boleh goyang-goyang dan meluncur laju je dekat tekak. Sedapnya makan bila dah sejuk!

Resepi dadih susu ni kiranya perisa yang paling basic. Kalau nak ganti dengan susu coklat atau strawberi pun boleh. Kalau dah manis tak payah bubuh gula dah. Ada juga nampak orang tambah serbuk Nescafe atau Milo. Menarik juga kan?

Tak kisahlah ikut kreativiti dan selera masing-masing. Yang penting, sedap dan berbaloi sangat buat sendiri dekat rumah.

Selamat mencuba!

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *