Corbin Ong Jdt 2018

Corbin Bakal Sandaran JDT Perkukuh Benteng

Kehadiran pemain kacukan, La’Vere Corbin bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka mampu mengukuhkan lagi posisi bek kiri pasukan itu bagi mengharungi pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan.

Sepanjang musim ini, skuad Harimau Selatan sering menurunkan Muhd Fazly Mazlan beraksi di posisi itu, namun dengan adanya Corbin yang berpengalaman beraksi di Eropah, pastinya memberi pilihan buat pengendali, Ulisses Morais.

“Beraksi di posisi bek kiri memang kegemaran saya. Malah ada ketika saya beraksi di posisi bek tengah dan mampu bermain di posisi sayap kiri memandangkan saya pemain kidal.

“Apa pun, saya serahkan kepada ketua jurulatih untuk menentukan posisi. Saya harus berkerja keras sepanjang latihan untuk meningkatkan lagi tahap kecergasan,” katanya.

Pemain kacukan Malaysia-Barbados itu berkata, tahap fizikal dan kecergasannya kini semakin mantap namun terpaksa berdepan cuaca panas yang menjejaskan sedikit tumpuan ketika latihan.

Corbin Ong

Sebelum tiba di sini, Corbin berada di Belanda yang ketika itu sedang musim sejuk. Pun begitu, dia optimis mampu mengatasi masalah keadaan cuaca panas dalam tempoh terdekat ini.

“Apa pun itu perkara kecil yang boleh diatasi. Malah saya gembira kerana berlatih di padang yang cukup berkualiti sekali gus memudahkan pergerakan bola ketika latihan. Ia penting bagi setiap pemain berlatih di padang yang baik walaupun keadaan padang berbeza ketika saya di Eropah.

“Saya juga sedang menyesuaikan diri dengan budaya bola sepak di sini. Setakat ini tampak tidak berdepan masalah kerana latihan yang disediakan oleh Morais begitu tersusun dan profesional,” katanya.

Corbin berkata sebaik mengetahui JDT ingin mendapatkan khidmatnya, dia melakukan kajian dengan melayari internet untuk mengetahui lebih mendalam mengenai skuad Harimau Selatan.

“Hasil daripada kajian yang saya lakukan, ternyata JDT memiliki keazaman yang tinggi. Falsafah bola sepak yang diterapkan cukup jelas malah ia penting untuk mendapat keputusan positif bagi mengharungi saingan Liga M nanti,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: Diaz Azam Terus ‘Luaskan Kuasa’ JDT


Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *