Davies

Davies Akur Kekalahan Kepada JDT

JOHOR BAHRU: Kapten Pahang, Matthew Davies pasrah dengan kekalahan tipis 0-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) sambil menyifatkan pasukan itu bernasib baik untuk menang dalam saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Davies mengakui ia perlawanan sukar buat skuad Tok Gajah walaupun memiliki beberapa peluang keemasan untuk merobek gawang skuad Harimau Selatan namun akibat sedikit kealpaan di benteng pertahanan menyebabkan skuad kendalian Raul Longhi bijak mengambil peluang terhidang.

Katanya, sasaran utama Pahang untuk sekurang-kurangnya mencuri mata namun tidak menjangka kekalahan yang dialami malah barisan serangan cuba memburu gol penyamaan tetapi benteng pertahanan JDT yang kental merumitkan usaha mencipta gol.

“Memang kami menyasarkan keputusan yang positif dan bukan kekalahan tetapi terpaksa akur dengan gol tunggal yang dijaringkan JDT. Mungkin ada hikmah dengan kekalahan itu tatkala saya lihat aksi seimbang dalam perlawanan itu.

“Keadaan tidak mengizinkan kami bawa kemenangan dan saya pasrah dengan keputsan itu malah apa yang berlaku bukan bererti kekalahan akan melenyapkan semangat setiap pemain sebaliknya kami akan bangkit menanti JDT di Stadium Darul Makmur, Selasa ini.

“Kami berjaya beri tekanan kepada JDT malah mereka juga tampak panik apabila serangan balas pantas hampir memerangkap benteng pasukan itu dan kami tidak bernasb baik kerana gagal Dmenyumbat gol,” katanya.

Ditanya mengenai pertembungan kedua di Kuantan, Selasa ini, Davies enggan meletakkan sebarang misi kerana ia pasti memberi lebih tekanan, sebaliknya mahu rakan sepasukan beri yang terbaik pada perlawanan itu nanti.

Katanya, tiada perasaan mahu membalas dendam dengan kekalahan kepada JDT kerana jika ada perasaan itu, kemungkinan akan menjejaskan perancangan taktikal yang akan dibentuk ketua jurulatih (Dollah Salle).

“Sudah tentu aksi Selasa ini, kami mahu menang tetapi agak sukar untuk capai sasaran itu memandangkan kami akan bertemu dengan JDT. Apapun kami tewas malam tadi namun kami akan bangkit pada aksi nanti,” kata Davies.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: