Disleksia Punca Anak Lembab

Disleksia Punca Anak Lembab Belajar, Ini 10 Tanda Anak Anda Menghidapinya

Sesi persekolahan baru bagi tahun 2019 sudah hampir sebulan berlalu. Anak-anak kecil yang baru memulakan sesi persekolahan tampak begitu gembira dapat bersekolah dengan pakaian dan peralatan persekolahan baru.

Walau masih kecil dan hanya tahu bermain, datang ke sekolah untuk belajar merupakan tujuan utama mereka walaupun ada di antara mereka mengalami masalah pembelajaran yang lebih dikenali sebagai Disleksia.

Apa Itu Disleksia

Disleksia adalah sejenis masalah pembelajaran khusus yang kerap berlaku kepada kanak-kanak. Antara masalah dihadapi termasuk dalam menguasai tugasan sekolah yang diberikan walaupun telah berusaha melaksanakannya.

Perkara ini kerana perbezaan cara otak berfungsi dalam menghubungkan simbol visual dengan bunyi.

Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang, usia, jantina atau bangsa dan ada juga yang diturunkan daripada ibu bapa. Kanak-kanak lelaki lebih cenderung mengalami masalah ini.

Jenis-Jenis Disleksia

Disleksia Visual (Penglihatan)

Kesukaran mengingat dan mengenal abjad. Simbol-simbol perkataan yang dicetak juga sukar diterjemahkan. Selalunya, mereka melihat abjad dan perkataan secara terbalik.

Disleksia Auditori (Pendengaran)

Kesukaran mengingat bunyi abjad (fonologi), menganalisa bunyi mengikut suku kata perkataan dan menyusun atau menggabungkan suku kata bagi membunyikan perkataan. Merka sukar membezakan percakapan yang dituturkan secara halus selain sukar membezakan bunyi vokal dengan kosonan.

Disleksia Visual-Auditori

Kesukaran utama dalam membaca disebabkan oleh kelemahan untuk memproses tulisan secara visual dan audio.

10 Simpton Disleksia

1. Lambat Bercakap

  • Ketika kecil, mereka tidak suka menyanyi dan membunyikan fonem (unit bunyi yang terkecil yang boleh membezakan makna kata) atau rima (keselarasan bunyi pada perkataan atau pada suku kata terakhir dalam sesuatu rangkap). Apabila meningkat usia, mereka kurang bercakap kerana sukar untuk menyebut sesuatu perkataan.

2. Selalu Tersasul

  • Apabila mereka cuba membunyikan suku kata, sering berlaku kesilapan. Contoh seperti perkataan kelapa dan kepala. Turut mengalami kesukaran untuk menyebut suku kata panjang seperti komputer dan universiti.

3. Cepat Lupa

  • Mereka juga mudah lupa apabila diberi arahan yang terlalu panjang.

4. Kesukaran Membaca

  • Mereka menghadapi kesukaran dalam mengenal abjad, warna dan nombor asas.

5. Cara Pegang Pensel Yang Pelik

  • Cara memegang pensel yang berbeza dari kanak-kanak normal. Ada yang menggenggam pensel terlalu kuat dan ada yang terpaksa melihat hujung pensel terlalu dekat. Tulisan mereka juga agak buruk dan mereka tidak cekap dari segi kemahiran seperti mengikat tali kasut, menendang bola atau mengasingkan warna dan bentuk.

6. Keliru Dengan Abjad Dan Nombor

  • Mereka mudah keliru dengan huruf dan nombor yang hampir sama seperti ‘b’ dan ‘d’ ataupun nombor ‘6’ dan ‘9’.

7. Sukar Mencari Arah

  • Mereka juga keliru dengan arah kiri dan kanan.

8. Kurang Memahami Konsep Masa

  • Sukar bagi mereka untuk mengingat sesuatu mengikut turutan seperti huruf A hingga Z, bulan Januari hingga Disember dan turutan hari Isnin hingga Ahad.

9. Sentiasa Mengelak Daripada Belajar

  • Mudah rasa penat kerana terpaksa menggunakan tumpuan dan tenaga yang tinggi, tetapi masih sukar memahami sesatu perkara melalui teks.

10. Berbakat Dalam Bidang Artistik dan Seni

  • Jangan terkejut jika kanak-kanak Disleksia ini mempunyai IQ yang tinggi berbanding kanak-kanak biasa. Mereka lebih berminat dengan aktiviti hands-on dan lebih mudah mengaitkan sesuatu dengan gambar, lukisan atau lisan berbanding teks. Mereka juga turut dianggap hiperaktif.  Ini yang selalunya paling digeruni ibu bapa!

Langkah Membantu Anak Disleksia

  1. Tingkatkan potensi pembelajaran anak melalui terapi pertuturan, latihan pendengaran dengan bantuan komputer dan menggunakan deria lain semasa pembelajaran seperti deria sentuh.
  2. Bantu menguasai maklumat secara beransur-ansur.
  3. Konsep pengulangan semasa berlajar.
  4. Penggunaan video untuk belajar.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak Disleksia, pelbagai maklumat dan program pemulihan di beberapa sekolah khusus untuk Disleksia disediakan. Anda juga boleh berhubung dengan Persatuan Dyslexia Malaysia berkaitan perkara ini.

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: