Doa Diaminkan Malaikat

Doa Yang Diaminkan Malaikat Ialah Doa Yang Tulus Dan Datang Dari Hati

Doa ialah rayuan kepada Allah. Berdoa juga salah satu cara untuk menunjukkan rasa rendah diri terhadap Allah SWT, selain untuk menunjukkan rasa patuh dan taat kepada suruhan Allah.

Doa merupakan senjata orang Islam selain merupakan talian hayat yang menghubungkan kita dengan Pencipta. Tidak dinafikan kuasa doa amatlah hebat. Magisnya mampu memperkenankan setiap permintaan dan harapan yang kita hajatkan. Maka usahlah jemu untuk berdoa kerana akan tiba masanya nanti Allah akan memakbulkan doa-doa yang kita minta.

Berikut perkongsian daripada Zureiny Zulkafly.

Sementara menunggu giliran untuk membayar di kaunter, mata saya memandang kiri dan kanan juga orang yang beratur di hadapan saya. “Ramai betul orang hari ni,” itu yang terpacul di bibir. Fina yang mendengar turut memandang sekeliling.

Ada yang beli barang penuh satu troli. Mungkin ahli keluarganya ramai. Ada yang beli barang penuh 2 troli. Mungkin dia seorang peniaga. Ada yang beli barang hanya separuh troli. Mungkin itu cara dia berbelanja.

Ada yang beli barang yang boleh dibilang dengan jari. Mungkin hanya itulah yang mencukupi sebagai rezeki. Macam-macam kisah sebenarnya di sebalik troli ni. Saya pandang pula troli sendiri.

Barang yang biasa-biasa sebagai memenuhi keperluan kami bertiga. Setelah ketiadaan arwah suami, saya cuba sedaya upaya mengisi tanggungjawab sebagai ‘ketua keluarga’ dengan sebaiknya. Apa yang ada di dalam troli saya, adalah rezeki saya dan anak-anak. Begitu juga yang ada di dalam troli orang lain. Itulah rezeki masing-masing. Memang tak akan sama.

Kalau difikir betapa susahnya saya hidup tanpa dia, saya pasti ada isteri-isteri di luar sana yang lebih sukar hidupnya. Makan bersukat. Perut diikat. Duit dicatu. Cukup apa yang perlu. Bila pandang troli sendiri, sematkan rasa syukur dalam hati. Bila pandang troli orang lain, doakan yang baik-baik buatnya.

PERNAH MENANGIS DAN MERAUNG

Saya pernah melalui saat-saat perit pada awal tempoh pemergiannya. Saya pernah menangis kerana tidak mampu tunaikan keinginan anak-anak. Memang saya meraung sambil memanggil namanya. Rasa seperti tidak terdaya menunaikan amanah yang dia tinggalkan.

Bila anak-anak meminta, hanya janji yang mampu saya beri. Terasa seperti saya ini seorang ibu yang zalim. Saya ikhtiar apa yang perlu untuk saya mengubah kehidupan. Ianya tak semudah disangka. Halangan akan sentiasa ada. Sehinggalah saya biasakan diri mendoakan orang di sekeliling saya.

Doa yang tulus. Doa yang datang dari hati. Itulah konsep doa yang diaminkan malaikat. Mendoakan yang baik-baik untuk orang lain agar kita mendapat apa yang dihajatkan. Memaaf dan melupakan agar kita juga dimaafkan.
Semua ini perlukan masa. Sentiasa diamalkan agar jadi kebiasaan. Sampai masa yang tepat, doa kita akan dimakbulkan. Selepas ni, sambil tolak troli, kita saling mendoakan yang baik-baik sesama kita. Manalah tahu. Daripada barang yang boleh dikira dengan jari bakal menjadi rezeki yang boleh dikongsi.

Berikut ialah senarai waktu-waktu yang diberkati doanya oleh Allah SWT:

  • Ketika waktu hujan (lebat/rintik)
  • Ketika berada dalam kesusahan
  • Ketika diri dianiaya
  • Ketika mendapat kesenangan
  • Ketika berdoa di Multazam (kawasan yang terletak di antara Hajarul-Aswad dan Pintu Emas Kaabah di Masjid al-Haramain, Mekah)
  • Ketika Hijr Ismail (kawasan lengkung yang terdapat di sisi Kaabah dikatakan tempat istirahat kepada Nabi Ismail/Ishmael ketika membina Kaabah bersama ayahandanya Nabi Ibrahim/Abraham)
  • Di sekitar maqam Ibrahim (tempat tinggalan tapak kaki Nabi Ibrahim ketika membina Kaabah bersama Nabi Ismail)
  • Ketika waktu rehat yang terletak di antara dua khutbah (Solat Jumaat, Solat Eidul-Fitri (Solat Hari Raya Puasa) dan Solat Eidul-Adha (Solat Hari Raya Korban)
  • Ketika mendoakan kedua-dua ibu bapa
  • Ketika waktu sepertiga malam (sekitar pukul 3 pagi sehingga pukul 6 pagi di waktu ambang subuh setiap hari)
  • Ketika dalam keadaan bersabar menanggung penderitaan dan kesusahan
  • Ketika waktu malam Lailatul Qadar (Malam Qadar), malam yang lebih baik daripada seribu bulan menurut Al-Quran. Pada malam ini, orang Islam peercaya Allah akan memberkati hambanya yang sanggup berjaga malam dan berdoa kepada-Nya semata-mata untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah SWT. Malam Lailatul Qadar masih tidak dapat dipastikan waktunya dengan tepat, namun Nabi Muhammad bersabda agar carilah malam Qadar pada sepertiga malam terakhir pada 27 Ramadan ataupun pada 10 malam terakhir Ramadan)
  • Selepas laungan Azan berkumandang
  • Sewaktu berada di dalam Masjid (khususnya masjid Haram di Makkah, Masjid Nabawi di Madinah, Masjid Al-Aqsa di BaitulMaqdis(Jerusalem))
  • Ketika besendirian dengan mengingati Allah SWT
  • Ketika dalam ketakutan
  • Ketika mendapat kejayaan dan kemenangan
  • Sewaktu memulakan, berada atau mengakhiri pelayaran
  • Sewaktu memakai pakaian dan wangian yang baik-baik kerana Allah SWT
  • Sewaktu sujud kepada Allah SWT dalam solat
  • Ketika berharapkan sesuatu kejayaan/kemahuan dan meminta keampunan daripada Allah SWT
  • Sewaktu melakukan pekerjaan yang baik-baik.
  • Sewaktu melawat orang sakit dan mendoakan kebaikan dan kesihatannya
  • Doa anak-anak yang soleh
  • Sewaktu melawati jiran tetangga
  • Sewaktu gerhana bulan
  • Sewaktu gerhana matahari
  • Sewaktu meminta hujan
  • Ketika waktu penganut Islam menunaikan Haji yakni ketika mereka berada di Jabal Rahmah di Padang Arafah, Arab Saudi.
  • Dengan menggunakan doa Rasullulah SAW yang telah dianjurkan melalui Al-Quran dan hadis

Sumber kredit: Zureiny Zulkafly

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *