Jdt3

Edwards kecewa kualiti pengadil SUKMA, gagal kawal perlawanan hingga timbul pergaduhan

KUALA LUMPUR: Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Alistair Edwards mengkritik mutu pengadilan di Sukan Malaysia (SUKMA) Perak.

Malah, beliau mendakwa kegagalan pengadil mengawal perlawanan dengan baik sebagai punca berlakunya pergaduhan ketika aksi Kumpulan B antara Johor dan Terengganu di padang Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, petang tadi.

Justeru, beliau menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melihat standard pengadil yang disediakan untuk kejohanan itu.

“SUKMA kelihatan seperti satu propaganda apabila pasukan lawan tiga kali ‘handball’ (bola terkena tangan) di dalam kotak penalti tetapi pasukan Johor tidak diberikan sepakan penalti.

“Kami sangat kecewa dengan kualiti pengadil dalam acara seperti SUKMA ini yang sepatutnya menjadi kejohanan yang sangat berprestij.

“Tetapi kualiti pengadil sangat teruk dan mereka juga gagal mengawal perlawanan hingga timbul pergaduhan antara kedua-dua pasukan ketika memasuki masa akhir perlawanan,” katanya dalam satu kenyataan di JOHOR Southern Tigers, hari ini.

Beberapa video pergaduhan antara pemain Johor dan Terengganu juga sudah tersebar di media sosial sejak petang tadi.

Pada aksi itu, Johor yang tewas 1-2 kepada Terengganu sah tersingkir daripada saingan selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: