Kencing Kotor

Tip Untuk Wanita & Ibu Mengandung, Elak Masalah Kencing Kotor Dengan 8 Cara Ini

Pernahkah anda berasa seperti asyik mahu terkencing atau pedih semasa membuang air kecil? Mungkin ia disebabkan oleh jangkitan pada saluran kencing (‘urinary tract infection’). Simptom ini juga dikenali sebagai ‘kencing kotor’. Biasanya, jangkitan bakteria (E.coli) menjadi punca utama masalah ini.

Kenapa Wanita Lebih Terdedah Kepada Masalah Kencing Kotor?

Menurut kajian, hampir 50% wanita akan mengalami kencing kotor atau jangkitan kencing sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Daripada jumlah ini, 20% daripada mereka yang pernah terkena kencing kotor akan mengalaminya lagi.

Secara amnya, wanita lebih mudah mendapat penyakit kencing kotor berbanding lelaki kerana wanita mempunyai salur kencing (uretra) yang pendek dan berada berdekatan dengan dubur (anus).

Hubungan seksual adalah salah satu sebab yang boleh menjadi punca wanita lebih terdedah mendapat kencing kotor. Ini kerana bakteria dari vagina boleh memasuki saluran kencing semasa aktiviti tersebut.

Wanita hamil pula mudah menghidap jangkitan kuman berbanding dengan wanita yang tidak hamil. Ini disebabkan perubahan hormon dalam wanita hamil. Ini kerana, ketika hamil, tahap kandungan hormon yang tinggi menyebabkan otot dan pundi kencing menjadi lemah. Keadaan ini akan meregangkan dan melambatkan pengaliran air kencing.

Pada masa yang sama, rahim yang membesar juga menekan saluran kencing dari luar menyebabkan pergerakan air kencing bertambah tersekat.

Apabila ia berlaku, kuman yang berada di pundi kencing membiak. Malah, air kencing wanita hamil yang lebih berasid dan lebih mengandungi gula turut menjadi faktor penyumbang kepada masalah kencing kotor.

Selain itu, jangkitan kencing juga lebih mudah dialami bagi mereka yang menghidap penyakit kencing manis atau diabetes, atau batu karang.

Tanda-Tanda Masalah Kencing Kotor

  1. Pedih semasa kencing
  2. Kerap kencing
  3. Tidak dapat mengawal kencing.
  4. Kerap kencing malam
  5. Sakit bahagian ari-ari
  6. Kencing keruh / berbau / berdarah
  7. Radang buah pinggang akut
  8. Demam,sejuk dan menggigil
  9. Sakit belakang bahagian buah pinggang kadang kadang menyusur ke bahagian pinggang
  10. Loya dan muntah
  11. Tanda-tanda dan gejala radang pundi kencing
  12.  Renjatan septik – perubahan mental dan keliru, hilang selera, tekanan darah rendah, sejuk dan berpeluh hujung anggota.

Selain itu, terdapat juga kes di mana kencing kotor tidak menunjukkan sebarang tanda secara fizikal. Walaupun kencing kotor biasanya boleh diatasi dengan antibiotik atau rawatan di rumah, namun ia boleh menjadi teruk sekiranya anda tidak segera mengambil tindakan.

Seperti dalam rajah di bawah, ia menunjukkan bagaimana ia boleh menjadi semakin teruk secara berperingkat sehingga menjejaskan buah pinggang.

Cara Mencegah Masalah Kencing Kotor

1. Banyak minum air
Minumlah air dengan banyak, sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas air sehari, sehingga air kencing menjadi jernih.

2. Jangan tahan kencing
Terus buang air kencing jika terasa untuk berbuat demikian. Menangguhkan membuang kencing akan menggalakan pembiakan bakteria dalam pundi kencing.

3. Jaga kebersihan alat sulit
Selepas membuang air kecil, biasakan mengelap dari depan ke belakang selepas ke tandas, untuk mengurangkan bakteria merebak dari kawasan dubur ke saluran kencing. Basuh tangan sebelum dan selepas mencuci alat sulit.

4. Guna pakaian longgar
Wanita yang hamil digalakkan memakai pakaian dalam daripada kapas dan pakaian hendaklah longgar. Elakkan pakaian dalam yang ketat.

5. Buang air kecil sebelum dan selepas hubungan seks
Untuk mengelakkan jangkitan, anda dinasihatkan untuk membuang air kecil sebelum dan selepas melakukan hubungan seks.

6. Tukar tuala wanita dengan kerap
Tukar tuala wanita atau seluar dalam dengan lebih kerap jika telah kotor. Gunakan ‘panty liner’ jika mengesan tanda keputihan supaya kebersihan lebih terjaga.

7. Kurangkan kafein
Kurangkan makan makanan manis atau minum air yang mengandungi kafein.

8. Ambil vitamin C
Amalkan pengambilan vitamin C yang mencukupi sehari untuk membantu melawan jangkitan kuman, terutamanya jika anda cenderung terkena jangkitan seperti demam.

Buat Pemeriksaan Lanjut
Cara yang terbaik untuk mengesahkan anda mendapat jangkitan kotor atau tidak, lakukan pemeriksaan air kencing di makmal.

Ia juga boleh mengesan sama ada masalah kencing kotor anda ada kaitan dengan sakit buah pinggang. Jika ia hanya jangkitan air kencing biasa, ia tidak ada kaitan dengan sakit buah pinggang.

Begitu juga sekiranya anda mengandung, kencing kotor dan ubat-ubatannya tidak menjejaskan kandungan melainkan anda disahkan sakit buah pinggang.

Jangkitan Saluran Kencing

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: