Fadhli Shas JDT

Fadhli Shas Enggan Terlalu Dibuai Mimpi Indah

Tonggak pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Fadhli Shas enggan terlalu selesa dengan kejayaan pasukan itu merangkul kejuaraan Liga Super empat musim berturut-turut selain muncul juara Piala Malaysia musim ini.

Sebaliknya bekas pemain Harimau Muda itu menegaskan saingan musim 2018 tampak lebih mencabar ketika beberapa pasukan memperkuatkan barisan pemain dan membawa masuk pemain import berkualiti.

Katanya, apabila saingan musim baharu bermula sudah tentu cabaran lebih getir dan sebagai pemain seharusnya perlu lebih mantap bukan saja dari segi fikizal dan tahap kecergasan malah ia membabitkan kekuatan mental.

[AdSense-B]

“Sebagai juara bertahan, objektif tetap sama untuk mempertahankan kejuaraan liga dan seperti yang sudah diumumkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), juara liga musim 2018 secara automatik layak ke saingan kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

“Berita itu pasti menyemarakkan lagi semangat kami untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi menempatkan JDT dalam saingan kelab Asia. Tapi kami harus berwaspada dengan ancaman pasukan lain yang mengimpikan slot berkenaan.

“Dengan kehadiran beberapa muka baharu, saya lihat JDT lebih mantap malah saya amat teruja apabila Luciano Figueroa dan Jorge Pereyra Diaz kembali bergandingan di posisi serangan,” katanya.

Fadhli Shas yang pernah beraksi selama tiga bulan bersama kelab Zlate Moravce di Slovakia apabila dipinjamkan pada 2011 oleh skuad Harimau Muda, mengakui kecederaan yang dialami pada musim 2017 menyebabkannya bertekad menebus kehampaan lalu.

Malah katanya, musim depan, dia tampak lebih cergas dan bersedia membawa cabaran skuad Harimau Selatan selepas kembali beraksi konsisten pada pertengahan musim ini dan berjaya membentuk kombinasi mantap di posisi pertahanan biarpun tanpa kelibat Marcos Antonio yang mengalami kecederaan.

[AdSense-B]

Dia juga menyifatkan aksi pramusim di Bangkok bermula 10 Januari ini amat penting buat JDT sebagai persiapan sebelum menentang kelab Thailand, Muangthong United pada aksi pusingan kedua Kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL), 23 Januari ini.

“Aksi menentang Army United, Chonburi dan Port FC di Thailand sememangnya mencabar terutama corak permainan kelab di sana lebih pantas dan kami akan belajar cara permainan pasukan itu sebelum menentang Muangthong,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: 5 Pemain JDT Terlepas Aksi Persahabatan di Thailand

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: