Fadhli Shas Meningkat

Fadhli Shas: Peningkatan Drastik Yang Melegakan Penyokong JDT

Mohd Fadhli Shas merupakan seorang pemain pertahanan tengah yang mendapat pendidikan peringkat menengah di Sekolah Sukan Bukit Jalil memulakan karier professional beliau bersama pasukan Harimau Muda B pada tahun 2008.

Pada tahun 2009, Fadhli telah berjaya menyarung jersi kebangsaan bersama pasukan bawah 19 tahun negara. Menyambung kariernya bersama pasukan Harimau Muda A dari tahun 2009-2013, Fadhli telah tampil sebanyak 43 kali bersama skuad tersebut.

Pada tahun 2010, beliau menyertai skuad Harimau Muda A ini menyertai Liga Slovakia sebagai pasukan jemputan. Pada tahun 2011, Fadhli Shas ditawarkan kontrak secara pinjaman bersama FC Vion dalam liga Slovakia. Walau bagaimanapun beliau hanya membuat 1 penampilan sahaja bersama kelab tersebut selama 5 bulan dipinjamkan

Penampilan beliau bersama skuad bawah 23 dan kebangsaan menarik perhatian pengurusan JDT untuk merisik beliau. Fadhli Shas yang mula menyertai JDT pada tahun 2014.

[AdSense-B]

GAYA PERMAINAN KETIKA PENAMPILAN AWAL BERSAMA JDT

Semenjak menceburkan diri dalam arena bola sepak professional, Fadhli Shas agak sinonim dengan posisi pertahanan tengah. Pemain berkaki kidal ini sering menjadi pilihan semasa menyarung jersi skuad bawah-23 kebangsaan.

Bersama pasukan JDT sejak 2014, pemain ini sukar mendapat tempat dalam kesebelasan utama. Posisi pertahanan tengah JDT sering diisi oleh Marcos Antonio dan Aidil Zafuan. Corak permainan yang kurang memuaskan menjadi faktor utama beliau jarang diturunkan oleh jurulatih.

Antara faktor utama yang menyebabkan Fadhli Shas sering gagal memenangi hati jurulatih untuk ditempatkan dalam kesebelasan utama adalah kerana gaya permainan beliau yang agak ‘robust’. Walaupun beliau agak baik ketika bertahan, Fadhli sering melakukan kesilapan-kesilapan mudah.

[AdSense-B]

Corak permainan beliau agak kelam kabut ketika bertahan. Beliau juga dilihat kekurangan ‘instict’ sebagai pertahanan yang baik. Kawalan bola beliau juga agak lemah dan sukar menerapkan falsafah bola sepak JDT.

PENAMPILAN DI AWAL MUSIM 2017

Dibawah kendalian Benjamin Mora, Fadhli Shas membuat penampilan sebanyak 14 kali dengan anggaran masa permainan selama 1,157 minit. Fadhli sering diturunkan sebagai pengganti kepada Aidil Zafuan untuk digandingkan bersama Marcos Antonio di posisi pertahanan tengah. Sepanjang beliau diturunkan, beliau menunjukkan sedikit peningkatan.

KEBANGKITAN FADHLI SHAS DI BAWAH KENDALIAN MORAIS

Kemasukan Ulisess Morais sebagai pengendali baru JDT memberi lebih peluang kepada Fadhli Shas untuk menunjukkan kredibiliti beliau. Fadhli diturunkan 5 kali sebagai kesebelasan utama daripada jumlah 7 perlawanan kendalian Morais dengan jumlah masa permainan selama 450 minit.

Peningkatan yang ditunjukkan beliau cukup luar biasa berbanding penampilan awal beliau bersama JDT. Fadhli mula mengambil alih posisi Aidil Zafuan untuk digandingkan bersama Marcos Antonio. Dibawah kendalian Morais, Fadhli Shas dilihat menampilkan corak permainan yang lebih meyakinkan.

[AdSense-B]

Kawalan bola yang baik disamping mampu mengekang asakan lawan menjadi kelebihan buat beliau. Beliau juga dapat dilihat terlibat dengan ‘build up’ play JDT untuk mengatur serangan. Selain itu beliau juga menjadi watak penting dalam keadaan JDT ingin melakukan ‘set piece’. Setakat ini, beliau telah menjaringkan 5 gol untuk musim ini.

KESIMPULAN

Penyokong JDT boleh menarik nafas lega melihat peningkatan permainan Fadhli Shas selepas kita kehilangan Marcos Antonio. Berdasarkan fakta-fakta diatas, penulis merasakan Fadhli Shas layak mendapat gelaran sebagai ‘Most Improved Player’ buat pasukan JDT.

Perbezaan permainan sekarang berbanding di awal penampilannya agak ketara. Oleh yang demikian, tidak hairanlah beliau tercalon dalam senarai pemain terbaik  bulan Julai ‘PFAM-asiana.my’.

Baca juga:

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: