Felda United

FELDA Pertimbang Bantahan Mutu Pengadilan Pada Aksi Menentang JDT II

MARAN: Pasukan FELDA United bakal membuat bantahan rasmi terhadap mutu pengadilan tidak memuaskan pada aksi menentang Johor Darul Takzim II (JDT II) di Stadium Tun Razak, Jengka, malam tadi.

Pengendalinya, B Sathianathan berkata, banyak keputusan dibuat pengadil, Mohammad Zamzaidi Katimin sangat mengecewakan termasuk kerap menghentikan permainan walaupun ia sekadar kekasaran kecil.

“Bila selalu sangat beliau (pengadil) tiup wisel, hentikan permainan hanya disebabkan insiden yang tidak berbahaya, ini jelas menjejaskan rentak.

“Banyak perkara lain (keputusan) turut mengecewakan kita dan tambahan masa hingga lima minit untuk separuh masa kedua juga sangat lama… kita akan tengok dulu dan jika ada asas, kita akan buat bantahan rasmi,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam tadi.

Dalam perlawanan itu, FELDA United dan JDT II hanya berkongsi mata selepas kedua-dua pasukan terikat seri 2-2.

Pasukan pelawat memperoleh gol pertama hasil sepakan penalti disempurnakan pemain import, Nicolas Alberto Fernandez pada minit ke-43 selepas bola terkena tangan pertahanan FELDA United.

JDT II menambah jaringan pada minit ke-58 hasil jaringan Darren Lok manakala gol FELDA United pula disumbangkan Thiago Agusto Fernandes pada minit ke-88 dan masa kecederaan.

Kedua-dua pasukan juga kehilangan seorang pemain akibat kad merah iaitu Wan Zack Haikal Wan Nor (FELDA United) pada minit ke-60 dan Fernandez (JDT II) pada minit ke-80.

Sathianathan bagaimanapun berpuas hati dengan persembahan keseluruhan pasukannya dan keputusan seri itu juga dilihat tidak menjejaskan peluang anak buahnya untuk kekal menerajui Liga Perdana musim ini.

Sementara itu, jurulatih JDT II, Benjamin Mora berkata, beliau terkilan dengan keputusan itu kerana mereka bermain lebih baik berbanding tuan rumah.

“Sudah pasti (keputusan) ini agak mengecewakan kerana kami mendahului mereka dan membiarkan mereka memperoleh gol.

“Misi utama kami ke sini adalah untuk menang dan mendapat tiga mata… kami sudah buat persiapan sebaik mungkin sebelum bertandang ke Jengka memandangkan FELDA United adalah pasukan yang bagus dan sedang mendahului liga.

“Kami mempamer corak permainan yang lebih baik dan bertahan dengan kemas, tetapi malangnya pada akhir perlawanan hanya seri,” katanya.

Perlawanan malam tadi juga sedikit tercemar apabila berlaku kekecohan membabitkan jurulatih dan pemain kedua-dua pasukan.

Difahamkan, insiden itu bermula apabila Sathianathan cuba bersalam dengan Mora sebaik wisel penamat dan berlaku perang mulut antara mereka yang kurang berpuas hati dengan keputusan perlawanan.

Beberapa pemain turut campur tangan dan berlaku insiden tolak-menolak antara keduanya sebelum dileraikan anggota polis bertugas.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: