Jdt22

FELDA United, JDT II Kongsi Mata Di Jengka

MARAN: FELDA United dan pasukan Johor Darul Takzim II (JDT II) berkongsi mata apabila terikat 2-2 dalam aksi di Stadium Tun Abdul Razak Jengka, di sini, sebentar tadi.

Pasukan pelawat memperoleh gol pertama hasil sepakan penalti disempurnakan pemain import mereka, Nicolas Alberto Fernandez pada minit ke-43, selepas bola terkena pertahanan FELDA United.

Pasukan kendalian B Satianathan cuba mencari gol penyamaan namun menemui jalan buntu hingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, skuad kendalian Benjamin Mora terus menguasai perlawanan sebelum berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-58 menerusi jaringan cantik Darren Lok.

FELDA United yang giat memburu gol, tersentak apabila penyerang mereka, Wan Zack Haikal Wan Nor yang mendapat kad kuning kedua pada minit ke-60 selepas mengasari Nicolas Alberto Fernandez dan Darren Lok dan diperintah meninggalkan padang.

Kehilangan seorang pemain menyaksikan FELDA United menukar rentak dengan memasukkan Muhamad Hadin Azman dan akhirnya mendapat gol pertama pada minit ke-88 yang dijaringkan Thiago Agusto Fernandes.

Ketika keputusan dilihat bakal memihak kepada JDT II, Thiago Agusto Fernandes sekali lagi mengecewakan JDT II apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-90.

Kedudukan itu kekal hingga tamat permainan menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: