Gabriel Guerra

Gabby Belum Fikir Final Piala Malaysia

 

Sentuhan berbisa pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT), Gabriel Guerra memastikan skuad itu layak ke pentas final buat kali kedua dan akan berdepan Kedah pada aksi di Stadium Shah Alam, 4 November ini.

Sememangnya Guerra yang sinonim dengan panggilan Gabby bagaikan wira tidak berdendang selepas persembahan tidak konsisten ketika JDT seri 1-1 dengan Perak pada separuh akhir pertama di Stadium Perak, Ipoh, 15 Oktober lalu ditebus dengan penuh bergaya.

[AdSense-B]

Apa tidaknya, pemain import dari Argentina itu menjadi pencetus jaringan pertama skuad Harimau Selatan selepas bola lorongan tepat kepada rakan senegara, Gonzalo Cabrera pada minit ke-57 sebelum dia sendiri meledakkan jaringan pada minit ke-74 disusuli jaringan kedua Cabrera pada minit ke-80 bagi memastikan JDT menang dengan agregat 4-1 pada aksi Sabtu lalu.

“Sudah tentu amat menggembirakan kerana bukan saja kami layak ke final malah saya mengotakan janji untuk menjaringkan gol dan semuanya hasil kerjasama sepasukan.

“Memang agak sukar untuk menundukkan Perak kerana mereka juga menunjukkan corak permainan agresif dan cuba menggugat benteng kami.

“Malah pergerakan saya pada babak pertama terbatas selepas sering dikasari oleh pemain Perak apabila dua atau tiga pemain lawan akan menghimpit saya hingga tiada ruang untuk bergerak,” katanya.

[AdSense-B]

Bagaimanapun, Guerra yang sudah meledak tiga gol sepanjang kempen Piala Malaysia menegaskan sebaik babak kedua bermula, dia mengubah corak permainan dan bertindak menjarakkan diri dari benteng lawan untuk memudahkan tugas mengawal bola dan mencetus gerakan selain menjaringkan gol.

Apa pun, dia tidak mahu memikirkan final buat seketika kerana ada satu lagi perlawanan terakhir saingan Liga Super menentang Kedah di Stadium Darul Aman, Sabtu ini dan ia aksi penting untuk memastikan kemenangan sebelum tirai liga elit domestik melabuh tirai.

“Ada lagi aksi saingan liga yang belum selesai. Jadi saya mahu tumpukan perlawanan menentang Kedah dan kami mahu tiga mata terakhir dan kemudian barulah fikir mengenai final Piala Malaysia.

“Aksi menentang Kedah dalam saingan liga agak menarik kerana ia ibarat ‘prafinal’ dan kami tetap serius untuk menghabiskan saingan liga dengan kemenangan,” kata Guerra.

[AdSense-B]

Sumber: Berita Harian

Baca juga: JDT Mengharungi 2 Musim Penuh Tanpa Kalah Di Stadium Larkin

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: