Raul Longhi Afc

Gandingan Dua Fernando Ancam Pahang

JOHOR BAHRU: Sentuhan gandingan import Amerika Selatan, Fernando Marquez dan Fernando Elizari menjadi sandaran Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika melayan kunjungan Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Keputusan JDT mendapatkan dua import Argentina menggantikan Harry Novillo dan Jorge Santos sememangnya tidak diduga, namun ia diharap berbaloi bagi memastikan skuad Harimau Selatan terus mengekalkan momentum kemenangan.

Kini tugas Marquez dan Elizari adalah memberi `pulangan lumayan’ buat JDT dengan menampilkan aksi konsisten dalam setiap perlawanan yang diharungi bermula dengan pertembungan menentang Pahang.

Ia penting bagi merealisasikan kemenangan pasukan yang mengintai kejuaraan liga lima musim berturut-turut selain untuk menempatkan diri ke saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan.

Pengendali JDT, Raul Longhi menegaskan persiapan menentang skuad kendalian Dollah Salleh berjalan lancar dan tiada pemain mengalami kecederaan kecuali Natxo Insa yang dalam proses pemulihan tetapi kini giat menjalani latihan.

“Tiada pemain yang digantung. Ini memberi ruang untuk saya merancang taktikal yang lebih ampuh bukan sahaja menguatkan benteng pertahanan malah bahagian tengah dan juga serangan yang saya akui agak kurang berkesan,” kata Longhi.

“Walaupun Marquez dan Elizari baru sahaja menjalani latihan bersama kami, kesungguhan kedua-dua pemain itu yang begitu rajin mengikut apa juga taktikal yang dirancang dan saya percaya mereka akan bersedia untuk berdepan Pahang nanti.

“Saya juga mahu barisan pemain tempatan mempamerkan corak permainan yang biasa kami pamerkan dan bukan lagi seperti aksi ketika menentang Perak tempoh hari kerana ia tampak menjejaskan rentak permainan dan itu bukan cara JDT beraksi.”

Longhi juga sudah melupakan kekalahan 3-0 kepada Pahang dalam saingan Piala FA yang dianggap berbeza dan tidak boleh dijadikan ukuran untuk aksi liga.

“Kami tahu Pahang akan memberikan tentangan sengit kerana mereka juga mahu terus menghimpit kami di tangga teratas liga. Kami tidak boleh anggap berada di puncak liga akan selamat.

“Sebaliknya, kami perlu beri fokus dalam perlawanan itu dan setiap pemain ada tanggungjawab. mereka perlu komited dan mengelak daripada membuat kesilapan mudah,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: