Mehmet Durakovic

Gol Tempat Lawan Bakal Jadi Badi Buat Perak – Mehmet Durakovic

 

“Tidak bagus untuk memberikan kelebihan gol di tempat lawan, tetapi itulah lumrah dalam dunia bola sepak,” kata pengendali Perak, Mehmet Durakovic.

Jadi, bekas pemenang Piala Malaysia 2015 itu mengakui anak buahnya kini berdepan tugas lebih sukar pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu ini kerana bertandang ke laman lawan tanpa bekalan selesa.

[AdSense-B]

“Saya lebih suka jika aksi ini (malam tadi) berakhir dengan kemenangan 1-0 di laman sendiri, tetapi kesilapan membuatkan kami dihukum dan perlawanan berakhir dengan keputusan 1-1.

“Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana saya tahu pemain sudah memberikan komitmen 100 peratus.

“Kalau mahu membicarakan mengenai kesilapan Shahrom Kalam, semua orang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

“Apapun, keputusan ini menjadikan tugas kami lebih mencabar pada aksi kedua nanti, namun kami akan tetap berusaha habis-habisan untuk mendapatkan keputusan positif,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan, malam tadi.

Pada aksi di Stadium Perak itu, tuan rumah tergamam selepas kesilapan Shahrom dihukum JDT, apabila penyerang import Lubnan, Mohammed Ghaddar menyamakan kedudukan pada minit ke-66, sekaligus membolehkan lawan memiliki kelebihan satu gol di tempat lawan.

[AdSense-B]

Jaringan itu memadam kelebihan gol awal The Bos Gaurus pada minit ke-18, hasil jaringan sendiri Hasbullah Abu Bakar selepas pertahanan muda itu cuba menghalang hantaran Gilmor Filho kepada Zaquan Adha namun tertampan masuk ke gawang sendiri.

Pengendali kelahiran Australia itu kini mengharapkan beberapa tonggak yang diketepikan dapat pulih segera agar dia dapat memiliki barisan lebih mantap untuk menamatkan penantian 10 tahun ke pentas akhir piala berprestij itu, sejak kali terakhir melakukannya pada 2007.

“Tidak mudah apabila kita kehilangan beberapa pemain utama apatah lagi bertemu pasukan yang begitu baik seperti JDT.

“Jadi, saya melihat keputusan 1-1 adalah keputusan yang baik selepas mengambil kira situasi semasa pasukan ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: Morais Dan Durakovic Berpuas Hati Dengan Aksi Pemain Dan Juga Keputusan Seri Di Stadium Perak

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: