Hadi Dan Tun M

Hadi dapat suntikan semangat Tun M

KUALA LUMPUR: Penyerang skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Hadi Fayyadh Abd Radzak yang sedang menjalani latihan bersama pasukan Roasso Kumamoto mendapat suntikan semangat dan motivasi  daripada Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Penyerang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) itu berpeluang bertemu pemimpin nombor satu negara itu pada Program Kepimpinan Pelajar Sekolah yang berlangsung di Global Arena, Fukuoka, Jepun, hari ini.

Pertemuan bersama Mahathir itu diatur oleh Syarikat Yakult (Malaysia) Sdn Bhd yang turut bersama Hadi sepanjang pertemuan itu.

Penyerang muda negara itu nyata gembira dan menyifatkan peluang itu sebagai kenangan manis apabila bertemu sendiri dengan Mahathir serta mendapat nasihat berguna daripada pemimpin yang amat dihormatinya itu.

“Tun berpesan supaya saya berusaha bersungguh-sungguh di sini dan membuatkan Malaysia bangga dengan kejayaan saya nanti. Beliau juga berpesan supaya saya menjaga diri sepanjang berada di sini.

“Saya sangat bangga dan gembira dapat berjumpa dengan Tun dan isteri (Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali) di sini walaupun pada mulanya saya seakan tidak percaya apabila Hiroshi Hamada mengatakan bahawa saya akan berjumpa kedua-duanya di sini.

“Ini adalah satu kenangan manis dan terindah dalam hidup saya apabila saya dapat berjumpa dengan idola saya sendiri yang amat saya kagumi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada menjelaskan pertemuan itu diatur supaya dapat membakar semangat Hadi yang sedang menjalani latihan seminggu bersama pasukan Roasso Kumamoto.

“Tujuan kami membawa Hadi Fayadh bertemu Mahathir adalah untuk memberi semangat dan motivasi kepada beliau supaya berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi mendapatkan tempat di dalam kelab terbabit.

“Selain itu, Hadi juga berkongsi pengalamannya bersama pemimpin pelajar yang berada dalam program tersebut,” kata Hamada.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *