Hadi Jepun

Hadi Fayyadh berguru di Jepun

KUALA LUMPUR: Penyerang skuad bola sepak bawah 19 tahun (B-19) negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak, hari ini berlepas ke Fukouka, untuk menimba ilmu bersama sebuah kelab divisyen 2, Liga Jepun (Liga J).

Hadi yang kini beraksi dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) menegaskan beliau amat gembira kerana dipilih Yakult (M) Sdn Bhd untuk menjalani latihan intensif bersama kelab Roasso Kumamoto selama enam hari mulai Selasa ini.

“Saya rasa teruja dan tidak sabar untuk berlatih serta menimba ilmu dengan kelab itu. Peluang bersama kelab ini adalah kesempatan terbaik untuk saya meningkatkan kemahiran terutama menjelang Kejohanan AFC B-19, tidak lama lagi.

“Terima kasih kepada pasukan saya kerana memberi pelepasan, jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee dan Bojan Hodak yang menyokong saya serta Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada kerana membantu menaja saya ke Jepun. Saya berjanji untuk lakukan yang terbaik,” katanya.

Hadi berlepas ke Jepun ditemani bapanya, Abdul Razak Abdul Wahab dan dua pegawai kanan Yakult iaitu Pengarah Bersekutu Kewangan, Sumber Manusia & IT, Minoru Arai dan Pengarah Bersekutu Perhubungan Awam dan Sains, Mazlyn Mena.

Berikutan itu, Hadi tidak menyertai skuad bawah 23 kebangsaan kendalian Kim Swee yang bakal berlepas ke China, pada Khamis depan untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan negara terbabit.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *