Persija Jakarta Vs Jdt

Harimau Kemayoran Ajar JDT

Persija Jakarta ‘membayar hutang’ dengan penuh bergaya selepas mudah mengaibkan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) 4-0 pada aksi Kumpulan H Piala AFC yang berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno, sebentar tadi.

Selepas ‘diajar’ skuad Harimau Selatan itu 3-0 pada aksi di Larkin sebelum ini, tiba giliran Persija Jakarta yang diberi julukan ‘Harimau Kemayoran’ itu untuk ‘mengajar’ pelawat dengan mereka ternyata lebih garang yang menyaksikan pemain importnya, Marko Simic berjaya meledak hatrik dalam tempoh 19 minit perlawanan sebelum menambah gol keempat di hujung permainan.

Percaturan Raul Longhi yang mempertaruhkan pemain tempatan dengan hanya seorang pemain import diletakkan dalam kesebelasan utama akhirnya memakan diri apabila mereka bergelut untuk merencana gerakan dan gagal untuk mengancam kubu pertahanan lawan.

Sebaliknya, anak buah Stefano Cugurra itu gah beraksi di hadapan penyokong sendiri dan lebih banyak mendominasi perlawanan sekali gus kemenangan itu membolehkan mereka mendahului Kumpulan H menerusi rekod pertemuan menentang kelab dari Vietnam, Song Lam Nghe An meskipun kedua-dua pasukan terikat dengan 10 mata.

Bagaimanapun, peluang JDT untuk mara ke separuh akhir Zon Asia Tenggara masih belum tertutup sepenuhnya dengan syarat mereka perlu menewaskan Song Lam Nghe An dengan jaringan besar untuk muncul selaku dua pasukan naib juara terbaik.

Dengan taktikal meletakkan Harris Harun sebagai pertahanan tengah bersama Junior Eldstal dan Aidil Zafuan, pertahanan JDT seharusnya lebih kental namun ketinggalan seawal minit ketujuh selepas hantaran Riko Simanjuntak ditanduk masuk bekas penyerang Melaka United, Simic untuk gol pembukaan.

Ketika JDT masih bergelut mencari rentak perlawanan, Persija Jakarta mengejutkan pelawat lima minit berselang juga menerusi tandukan Simic hasil hantaran Rezaldi Hehanusa untuk gol kedua perlawanan pada minit ke-12.

Kegagalan pemain pertahanan JDT untuk mengekang gerakan Ramdani Lestaluhu akhirnya dihukum selepas hantarannya ditampan masuk Simic membolehkan penyerang kelahiran Croatia itu melengkapkan hatriknya pada minit ke-19.

Babak kedua menyaksikan JDT cuba untuk mengasak kembali namun masih belum mampu menggugat Persija Jakarta yang lebih selesa meneruskan penguasaan bola meskipun berkelebihan 3-0.

Namun, JDT berdepan tamparan apabila pertahanannya, Adam Nor Azlin dilayangkan kad merah kerana melakukan terjahan keras ke atas pemain Persija Jakarta sekaligus memaksa pelawat beraksi dengan 10 pemain bagi tempoh 12 minit baki perlawanan.

Malam malang JDT berterusan apabila tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-86 dan Simic yang diberi julukan ‘Super Simic’ tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan penalti terbabit untuk gol keempat peribadinya pada minit ke-86.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: JDT Sedia Berdepan 70,000 Penyokong Jakmania


Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *