Hariss Harun Teruja Kembali Bersama JDT

Hariss Harun Teruja Kembali Bersama JDT

Selepas semusim tidak bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana dipinjamkan ke Home United FC, Hariss Harun jelas teruja apabila kembali memperkuatkan skuad berkenaan berdepan saingan Liga Malaysia (Liga M).

Jelas tampak mahu melupakan detik kecewa gara-gara tidak dapat menyertai kelab Portugal atau Sepanyol di awal musim, dia berterima kasih kepada pengurusan JDT yang berusaha menempatkannya beraksi secara pinjaman ke Home United.

“Saya mahu melupakan apa yang terjadi pada awal musim ini. Kini fokus utama saya adalah membantu JDT mengharungi pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada pertengahan Januari dan mengharungi Liga M).

“Selepas lebih seminggu menjalani latihan kendalian ketua jurulatih, Ulisses Morais, saya amat teruja apabila berlatih bersama beberapa pemain berpengalaman seperti Natxo Insa, Jorge Pereyra Diaz dan Luciano Figueroa dan beberapa pemain muda.

“Saya beraksi untuk kelab Home United FC selama lapan bulan. Ia membantu saya memantapkan lagi kekuatan fizikal sekali gus memberi lebih keyakinan apabila kembali berlatih bersama JDT selain ke Thailand bagi latihan pra musim, bulan depan,” katanya.

Skuad Harimau Selatan akan mengadakan tiga siri perlawanan persahabatan pra musim di Bangkok.

Ia akan menentang Army United FC pada 10 Januari, disusuli pertembungan menentang Chonburi FC (13 Januari) dan aksi terakhir menentang Port FC, 15 Januari.

Mengulas persiapan pra musim skuad Harimau Selatan di Thailand, Hariss yang mengisi kuota import ASEAN menyifatkan ia langkah tepat memandangkan kelab-kelab di negara itu memiliki corak permainan berkualiti dan pantas.

Katanya, ia mampu meningkatkan corak permainan skuad Harimau Selatan untuk berdepan musim baharu yang tampak mencabar.

Beliau berkata, pengalaman pra musim pada musim lalu ketika mengharungi perlawanan persahabatan di Thailand nyata beri kesan apabila pemain tampak matang dan kesinambungan latihan di sana nanti pasti beri kesan positif terhadap persiapan JDT mempertahankan kejuaraan liga.

hariss harun idamkan piala acl

“Apabila kita muncul juara empat musim berturut-turut, sudah tentu akan berdepan tugas yang lebih mencabar. Tetapi saya optimis JDT yang dibarisi pemain berkaliber dan berpengalaman mahu mengekalkan kejuaraan.

“Falsafah bola sepak yang diterapkan dalam JDT memainkan peranan penting bagi memastikan corak permainan pasukan itu sentiasa berkualiti dan tidak statik tanpa pembaharuan.

“Malah saya kagum selepas semusim tidak bersama JDT tetapi banyak perubahan dilakukan,” kata Hariss Harun.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: Pemain Baru JDT 2018: Bruno Gabriel Soares


Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *