Haziq

Haziq idam tersenarai dalam skuad B-23

JOHOR BAHRU: Penjaga gol utama Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Muhammad Haziq Nadzli menganggap dirinya bertuah kerana terpilih menjalani latihan bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) yang akan menghadapi Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan depan.

Bagaimanapun, dia yang juga penjaga gol ketiga Johor Darul Ta’zim (JDT) sedar saingan merebut slot pertama penjaga gol skuad B-23 amat sengit apatah lagi dibayangi kehebatan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim dan penjaga gol Kuala Lumpur, Khatul Anuar Md Jalil.

Namun, dia enggan dibayangi kedua-dua penjaga gol itu sebaliknya akan memberi persembahan terbaik sepanjang latihan dalam usaha memburu tempat selaku penjaga gol utama skuad B-23.

“Saya akan melaporkan diri untuk menjalani latihan B-23, Isnin ini dan amat bersyukur kerana dipanggil bagi menjalani latihan pusat, sudah tentu saya akan berkerja keras untuk berada dalam skuad itu.

“Kini ada 28 pelatih dan hanya 20 terbaik akan tersenarai ke Sukan Asia dengan hanya dua penjaga gol akan dipilih. Justeru, saya kena bersedia dari segi mental dan fizikal ketika menjalani latihan.

“Apapun, saya lihat cabaran sengit hadir daripada Ifwat Akmal dan Khatul Anwar memandangkan mereka sering beraksi bersama pasukan masing-masing ketika bersaing dalam Liga Super sedangkan saya jarang diturunkan, tetapi itu bukan alasan untuk tidak menyerlah ketika latihan,” katanya.

Mengulas cabaran bakal ditempuh skuad B-23 selepas diundi dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu, Kyrgyzstan dan Bahrain, dia mengakui cabaran yang akan dihadapi pasti sengit.

“Kita diundi bersama pasukan berstatus besar dalam kancah bola sepak rantau Asia. Apapun, kami tetap akan memberi saingan dan berusaha menyaingi kehebatan mereka,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *