Hazwan Bakri Pakar Final Piala Malaysia

Hazwan Bakri Pakar Final Piala Malaysia

 

Pengalaman di pentas final Piala Malaysia dua kali berturut-turut seharusnya menjadi kelebihan buat penyerang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Hazwan Bakri untuk berdepan juara bertahan Kedah pada perebutan kejuaraan di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Bukan sekadar merasai nikmat beraksi di final bersama Selangor sebelum ini, malah pemain berusia 26 tahun itu turut meledak dua gol ketika menewaskan Kedah 2-0 pada 2015 dan satu gol ketika seri 1-1 namun tewas menerusi penentuan sepakan penalti 5-6 kepada lawan sama.

Bagi Hazwan, dia berharap akan mendapat kepercayaan jurulatih Ulisses Morais untuk beraksi di final buat kali ketiga berturut-turut.

“Kalau ada rezeki, memang saya mahu beraksi di final sekali lagi. Kali ini berbeza dengan pasukan baru Johor DT dan pasukan ini tidak pernah memenangi Piala Malaysia jadi sudah pasti ia kejuaraan penting buat saya dan pemain.

pahang vs jdt 2017 hazwan bakri

“Semua pemain cukup bersemangat dan prestasi pasukan ketika ini semakin baik setiap perlawanan,” katanya.

Bagaimanapun Hazwan yang menyertai kelab Harimau Selatan itu musim ini, perlu bersaing hebat bagi merebut posisi penyerang bersama Mohammed Ghaddar dan Darren Lok.

Malah pemain kebangsaan itu langsung tiada dalam senarai pemain ketika Johor DT seri 0-0 dengan Kedah di Alor Setar dalam aksi terakhir Liga Super malam tadi dan mungkin ia percaturan Morais yang mahu Hazwan benar-benar cergas pada perlawanan akhir nanti.

“Perlawanan akhir berbeza, tak boleh ambil kira keputusan perlawanan pada pertemuan sebelum ini. Memang kami tahu Kedah ada kekuatan tersendiri, dengan corak hantaran pendek tapi kami boleh menyaingi mereka,” katanya yang membantu Johor DT muncul juara Liga Super musim ini.

Sumber: Harian Metro

Baca juga: JDT Dan Kedah Tentukan Siapa Raja Bola Sepak Malaysia

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: