Jdt Vs Pahang

‘Ini persembahan terbaik JDT’

JOHOR BAHRU: Kegembiraan jelas terpancar di wajah pengurus Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa selepas skuad itu mara ke separuh akhir Piala Malaysia apabila menyingkirkan Pahang 3-1 secara agregat pada suku akhir di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Malah Figueroa menganggap setiap pemain yang diturunkan pada perlawanan itu wajar dipuji kerana tidak menunjukkan sebarang kelemahan sepanjang 90 minit.

Menurutnya, karakter positif pemain juga menyumbang kepada kemenangan berbanding pada suku akhir pertama di Kuantan, 23 September lalu yang agak mengecewakan namun mereka memberi persembahan terbaik untuk menewaskan skuad kendalian Dollah Salleh kali ini.

“Sudah tentu saya gembira dengan kemenangan ke atas Pahang. Kami menempuh saat getir ketika suku akhir pertama namun pemain memperagakan corak permainan menakjubkan selepas menguasai perlawanan dan menghadiahkan kemenangan.

“Kami bermain seperti yang kami inginkan dengan corak permainan pantas dan bola sentiasa bergerak menerusi hantaran pendek dan kemas malah corak itu menyukarkan Pahang untuk cuba merampas bola daripada kami.

“Sekurang-kurangnya empat peluang terbaik menjaringkan gol tapi ada yang terkena palang dan sedikit tersasar. Tapi saya tetap berpuas hati kerana pemain sentiasa berusaha untuk menjaringkan gol dan itu yang kami mahu,” katanya.

Mengulas mengenai persembahan Safawi Rasid yang muncul wira JDT selepas dua gol pada minit pertama dan 73, Figueroa menegaskan beliau kerap memberi kata perangsang kepada pemain muda itu supaya yakin kepada diri sendiri.

Menurutnya, Safawi memiliki sifat mahu menyerlah apabila diturunkan dalam kesebelasan utama dan tampak dia begitu bersungguh-sungguh dalam setiap perlawanan malah sentiasa bekerjasama dengan rakan sepasukan.

“Safawi kena percaya kepada diri sendiri kerana dia pemain terbaik di Malaysia ketika ini dan saya gembira dengan peningkatan corak permainannya. Saya anggap dia sebagai aset penting buat JDT.

“Bagi aksi separuh akhir, kami kena buat persiapan rapi dalam tempoh kurang seminggu dan akan menentang Terengganu FC di laman mereka. Oleh itu saya dan Benjamin Mora akan membuat persiapan rapi sebelum ke Kuala Terengganu minggu depan,” kata Figueroa.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: