Terengganu

Jangan merendah diri lawan JDT

KUALA TERENGGANU: Mohd Suffian Abdul Rahman melaungkan keyakinan untuk memperagakan aksi terbaik menghalang pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) daripada meledak gol, pada separuh akhir pertama Piala Malaysia, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.

Penjaga gol nombor satu Terengganu FC (TFC) berusia 40 tahun itu, mahu menggunakan sepenuhnya peluang kali ini untuk memastikan pasukannya meraih bekalan sebelum aksi timbal balik pada 20 Oktober ini.

“Misi peribadi saya musim ini adalah sama dengan pasukan iaitu untuk melangkah ke final saingan piala berprestij itu. Sudah tentu pengalaman 21 tahun bergelumang dalam bola sepak akan saya gunakan sebaik mungkin bertemu JDT.

“Saya akan pastikan gawang tidak dibolosi dan berharap barisan pertahanan diketuai Igor Zonjic kebal mengekang barisan penyerang Harimau Selatan,” katanya yang menjadikan legenda Itali, Gianluigi Buffon sebagai idolanya.

Pada aksi suku akhir pertama dan kedua bertemu FELDA United, Suffian yang lebih mesra dipanggil ‘Tiger’ dalam kalangan rakan sepasukannya beraksi cemerlang membantu pasukannya mencatat kemenangan dengan agregat 6-4.

Bekas penjaga gol kebangsaan itu mengingatkan rakan sepasukannya supaya tidak merendah diri atau memandang mudah keupayaan lawan, sebaliknya perlu memperagakan aksi sebenar walaupun JDT pernah menumpaskan TFC dalam aksi Liga Super.

“JDT adalah pasukan yang berpengalaman dan mempunyai pemain yang baik di setiap posisi. Kita perlu berhati-hati dengan setiap taktikal yang akan mereka gunakan.

“Kami juga harus bijak menyerap asakan lawan dan perlu menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di laman sendiri. Saya jangkakan ia akan menjadi pertembungan yang menarik,” katanya yang belum memikirkan soal mahu bersara.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: