Jdt Enggan Mendabik Dada

JDT Enggan Mendabik Dada

Johor Darul Ta’zim (JDT) enggan mendabik dada selepas melakar kejayaan kedua berturut-turut apabila menewaskan PKNP FC 3-0 untuk berada di tangga teratas Liga Super pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Pengendali JDT, Ulisses Morais mengakui berdepan kesukaran untuk menjinakkan skuad kendalian Abu Bakar Fadzim yang mengamalkan corak permainan bertahan di bahagian tengah sehingga menjejaskan gerakan barisan pemain JDT.

[AdSense-B]

Katanya, hanya penghujung babak pertama barulah mampu memecah kebuntuan jaringan hasil ‘set piece’ yang memerangkap benteng pertahanan lawan menyaksikan Jorge Pereyra Diaz mencipta gol pada perlawanan itu.

“Kami perlu menanti pada saat yang terbaik untuk menjaringkan gol dan saya akui agak sukar menembusi benteng lawan tatkala mereka beraksi dengan corak bertahan dan kerap menyekat asakan barisan serangan JDT.

“Pada aksi babak pertama, kami ada sekurang-kurang dua dan tiga percubaan terbaik namun gagal melakukan penyudah tepat namun kami tetap berusaha dan kerjasama berpasukan yang dibentuk nyata membuahkan hasil.

“Dua aksi yang kami lalui selepas menewaskan Kedah 2-1 dan PKNP 3-0 agak mencabar kerana kedua-dua pasukan itu cuba sedaya upaya mahu menewaskan JDT tetapi pemain tampak begitu tenang dan beraksi tanpa tekanan,” katanya.

[AdSense-B]

Mengulas mengenai penampilan pertama Adam Nor Azlin yang beraksi penuh dalam perlawanan itu, Morais tampak gembira dengan komitmen pemain Bawah 23 Tahun (B-23) negara yang tidak kekok bergandingan bersama Mohd Fadhli Shas di posisi pertahanan.

Beliau berkata, Adam mampu menjadi pemain pertahanan terbaik sekiranya corak permainan konsisten dikekalkan dan dia harus belajar untuk mengetahui lebih mendalam cara pemain pertahanan beraksi.

“Adam pemain berbakat dan dia tampak tidak kekok mengemudi benteng bersama Fadhli dan saya gembira dengan corak permainannya walaupun pertama kali beraksi selepas pulang dari China.

“Saya juga akan melakukan penggiliran pemain untuk beraksi dalam perlawanan liga dan ia bergantung pasukan mana yang kita lawan kerana perancangan taktikal menjadi keutamaan dalam setiap aksi yang akan diharungi,” kata Morais.

Sumber: Berita Harian

Baca: JDT Kekal Rekod Bersih Liga Super 2018

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: