Hariss Harun Kelantan

JDT intai kemenangan kedua

JOHOR BAHRU: Juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengintai kemenangan kedua apabila berkunjung ke Kota Bharu untuk menentang Kelantan pada aksi Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok.

Kapten JDT, Hariss Harun menyifatkan kemenangan 5-1 menewaskan Kedah, Jumaat lalu amat penting buat pasukan itu untuk kembali meningkatkan moral pemain bagi meneruskan rentak kemenangan dalam saingan piala berprestij.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Singapura itu tidak menafikan betapa pertembungan menentang skuad The Red Warriors (TRW) bukan satu tugas mudah berikutan beraksi di tempat mereka sendiri, selain skuad bimbingan Yusri Che Lah turut mahu memburu kemenangan pertama.

“Kelantan adalah pasukan yang sukar ditewaskan apabila beraksi di laman mereka sendiri dan ia terbukti ketika saingan Liga Super di awal musim, kami terpaksa berkerja keras untuk menang tipis 2-1 apabila mendapat tentangan sengit daripada pasukan itu.

“Kekalahan 1-2 kepada MIFA dalam aksi pertama saingan kumpulan sudah cukup beri pengajaran buat kami dan ia juga dianggap kejutan namun semuanya bersifat sementara selepas bangkit daripada kekecewaan untuk mencipta kemenangan pertama menewaskan Kedah.

“Kemenangan ke atas Kelantan amat penting bagi mengekalkan kedudukan selamat untuk mara ke pusingan seterusnya. Walaupun terlalu awal untuk berbicara mengenai itu namun kita kenalah merancang dan fokus pada baki tiga perlawanan lagi,” katanya.

Hariss menegaskan barisan pemain Kelantan tidak boleh dipandang rendah walaupun pasukan itu masih belum melakar kemenangan dalam saingan kumpulan tetapi JDT akan turun dengan keazaman tinggi memburu tiga mata walaupun sedar ia tampak berliku.

Justeru, dia optimis gandingan kejurulatihan  Luciano Figueroa dan Benjamin Mora mampu membentuk perancangan taktikal yang ampuh sebagai persediaan berdepan TRW yang akan beri tekanan untuk mencari kemenangan pertama.

Tambahnya, kemenangan JDT pada aksi liga dalam perlawanan dua lalu bukan lagi jadi ukuran kerana saingan Piala Malaysia berbeza apabila tempoh perlawanan begitu singkat dan harus sentiasa fokus untuk perlawanan seterusnya.

“Pemburuan kemenangan menjadi agenda utama kami tetapi dalam keghairahan itu, kami harus berwaspada kerana semua pasukan mahu tewaskan JDT yang berstatus juara liga. Oleh itu kami harus tampil dengan permainan berkualiti dan mengelak daripada membuat kesilapan,” kata Hariss.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: