Jdt Vs Persija Sidang Media

JDT Lupakan Kekalahan, Bangkit Hadapi Persija

Johor Darul Ta’zim (JDT) mahu melupakan kekalahan mengejut di tangan Kuala Lumpur pada aksi Liga Super kelmarin dan mengalih tumpuan bagi meraih kemenangan dalam perlawanan pertama kumpulan H menentang kelab Indonesia, Persija bagi saingan Piala AFC 2018.

Kapten JDT, Safiq Rahim berkata, kekalahan tersebut perlu dijadikan pemangkin untuk Harimau Selatan bangkit semula daripada kekalahan tersebut dan memperbaiki segala kelemahan menjadi lebih baik pada perlawanan akan datang.

“Keputusan tersebut sudah menjadi sejarah buat JDT dan kita perlu perbaiki kelemahan untuk menjadi lebih kuat. Mungkin itu salah satu pemangkin semangat untuk menjadi lebih baik dan cuba yang terbaik mengelak mengulangi kelemahan sebelum ini.

“Bagi perlawanan esok, harapan kami tentunya menginginkan keputusan yang positif. Dalam apa kejohanan disertai, keputusan perlawanan pertama amat penting buat pasukan tambahan pula bila beraksi di laman sendiri.

“Begitupun, kita tidak boleh memandang rendah keupayaan lawan kerana Persija merupakan antara pasukan terkuat di Indonesia. Apa yang penting kita lakukan tugas dan mengikut taktikal yang diterapkan jurulatih bagi memastikan tiga mata menjadi milik JDT,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, pemain Persija, Rudi Widodo menuntut rakan sepasukan untuk menampilkan aksi bertenaga bagi membuktikan kemampuan mereka kembali beraksi di pentas Piala AFC selepas 16 tahun.

Rudi menjangkakan pertembungan sengit esok dan mengakui JDT pasukan hebat.

“Selepas 16 tahun tidak beraksi di pentas Piala AFC, inilah saatnya untuk tunjukkan bahawa Persija kelab besar yang sedia dari segi mental dan fizikal bagi perlawanan esok,” katanya.

Sumber: Utusan

Baca juga: Syamer Kutty Sedia Rebut Tempat


Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *