Raul Longhi Afc

JDT Perlu Kemas Benteng Pertahanan

Andai Johor Darul Ta’zim (JDT) mahu mencipta sejarah menjuarai Liga Super lima musim berturut-turut, mereka terlebih dulu perlu membaiki benteng pertahanan bagi mengelak kesilapan sama dengan melepaskan dua gol dalam tempoh dua minit ketika menentang Selangor, Sabtu lalu.

Pengendali JDT Raul Longhi, juga perlu lebih berani mempelbagaikan taktikal sekiranya pemain utama cedera dan terlepas aksi mana-mana perlawanan berikutan ketiadaan Natxo Insa yang tidak diturunkan pada dua perlawanan lalu akibat kecederaan.

Ketika ketiadaan Insa menentang Selangor, barisan tengah JDT hilang punca dan tidak mampu mengatur serangan berikutan tindakan Longhi menurunkan dua pemain tengah pertahanan, Afiq Fazail dan Hariss Harun untuk menyerap serangan The Red Giants.

Dalam perlawanan itu, walaupun diperkuatkan Marcos Antonio, Fadhli Shas, Corbin Ong dan S Kunanlan, dua jaringan pantas Selangor menyebabkan perlawanan berkesudahan seri 2-2 sekali gus merencatkan peluang JDT.

Seharusnya perkara itu tidak berlaku jika pemain tengah dan pertahanan JDT lebih berwaspada dan bijak mengawal gerakan serta lorongan pemain skuad kendalian Nazliazmi Nasir.

Pengendali kelahiran Argentina itu mengakui perlu memantapkan benteng pertahanan dan memberi ruang buat Adam Nor Azlin mahupun Aidil Zafuan Abd Radzak beraksi dalam kesebelasan utama.

Keputusan seri 2-2 itu menyebabkan JDT tidak boleh kehilangan mata pada aksi seterusnya tatkala 25 mata dipungut selepas mengharungi 10 perlawanan bukan jaminan untuk pasukan itu berada dalam kedudukan ketika Perak hanya ketinggalan lima mata.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: Analisis: Selangor 2 JDT 2, Harry Novillo Selesa Di Bahagian Sayap

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *