JDT Juara Liga Super 2017

JDT rangkul kejuaraan Liga Super 2017 Dengan Baki 3 Perlawanan

Biarpun tewas 2-1 kepada Selangor di Stadium MP Selayang malam ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) tetap ceria apabila berjaya merangkul kejuaraan Liga Super buat kali keempat berturut-turut.

Sejarah itu tercipta susulan kekalahan 1-2 pesaing terdekat mereka, Kedah kepada Pahang dalam satu lagi saingan di Stadium Darul Makmur yang turut berakhir sebentar tadi.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan persaingan seterusnya kini tertumpu kepada perebutan tangga kedua antara skuad Helang Merah dan Tok Gajah ketika JDT sudah boleh berkira-kira dalam saingan Piala Malaysia serta perancangan musim depan.

[AdSense-B]

Kejayaan itu pastinya juga bakal memberi lebih banyak masa buat skuad Harimau Selatan meraikan pencapaian mereka musim ini ketika saingan Liga Malaysia (Liga M) bakal berehat bagi beri laluan kepada Sukan SEA.

Dalam aksi malam tadi, JDT dilihat lebih tenang untuk menguasai permainan namun ketika aksi memasuki minit ke-20, Selangor tiba-tiba garang, bermula dengan percubaan Francis Forkey Doe namun rembatan tidak menepati sasaran.

Pada minit ke-26 dan ke-29, Amri Yahyah dan Forkey Doe terus mengucar kacirkan pertahanan pasukan pelawat namun aspek penyudah terus mengecewakan tuan rumah.

[AdSense-B]

Ketika Selangor ghairah mengatur serangan, Ignacio Insa menceriakan penyokong pelawat pada minit ke-39 dengan gol pembukaan apabila rembatan derasnya dari luar kotak penalti menuju tepat ke gawang Selangor sebelah kanan.

Lapan minit aksi bersambung, Amri cemerlang menempatkan diri di posisi terbaik untuk melepaskan percubaan sebaliknya rembatan dilakukannya dinafikan penjaga lawan, Izham Tarmizi Roslan.

Bagaimanapun, minit ke-59, Amri tidak mempersiakan peluang kedua untuk menyamakan kedudukan selepas menerima bola hantaran ke dalam daripada Muhammad Syahmi Safari.

Keputusan P Maniam memasukkan Andik Vermansah menggantikan Saiful Ridzuwan Selamat membuahkan hasil, apabila tonggak import dari Indonesia itu meledak gol kedua buat Selangor pada minit ke-78 untuk beri tiga mata buat Selangor.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: Siapakah Pemain JDT Yang Menjulang Piala Liga Super Paling Banyak?

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: