Jakmania

JDT Sedia Berdepan 70,000 Penyokong Jakmania

Sorak gegak gempita lebih 70,000 penyokong Persija Jakarta yang dikenali ‘Jakmania’ tidak akan melunturkan semangat juang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bertandang ke Stadium Gelora Bung Karno pada aksi Kumpulan H Piala AFC, malam esok.

Malah pengendali JDT, Raul Longhi menegaskan ia bakal menitip pengalaman bermakna untuk beraksi di depan penyokong kelab dari Jakarta itu ketika JDT pernah mengalaminya di pentas final Piala FA 2016 dan Piala Malaysia 2017.

Baginya, pengalaman yang bakal ditempuh ini amat penting buat barisan pemain muda yang bakal diturunkan kerana mereka akan lebih berkeyakinan untuk beraksi dan memberi sepenuh tumpuan dalam perlawanan itu nanti.

Malah barisan skuad Harimau Selatan langsung tidak menunjukkan faktor kepenatan selepas menentang Pahang di aksi suku akhir pertama Piala FA, Jumaat lalu.

“Tiada alasan (kepenatan) kerana kami menyusun program latihan dengan teliti. Pemain melalui proses pemulihan, menjalani latihan ringan dan mereka menunjukkan karaktor positif dalam latihan.

“Kami bersedia memberi persembahan melebihi 100 peratus dan saya kagum dengan semangat pemain yang menunjukkan komitmen tinggi sebelum menjalani latihan rasmi di Stadium Bung Karno, petang ini,” katanya.

Pada pusingan pertama, skuad Harimau Selatan menewaskan skuad kendalian Stefano Cugurra 3-0 – jaringan Ahmad Hazwan Bakri, Jorge Pereyra Diaz dan Safawi Rasid pada pertembungan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 14 Februari lalu.

Beliau juga menegaskan beberapa pemain akan direhatkan bagi memastikan persiapan yang lebih rapi perlawanan berdepan PKNS FC, Sabtu ini.

Namun, Longhi tetap optimis kesebelasan yang akan diturunkan menentang Persija Jakarta adalah yang terbaik untuk memburu tiga mata.

“Kami tahu Persija Jakarta merehatkan beberapa pemain utama dalam aksi Liga 1 Indonesia, baru baru ini dan itu mungkin taktik mereka,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: Pemain Baru JDT 2018: Harry Novillo


Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *