JDT Tak Pandang Mudah Baki Empat Saingan

JDT tak pandang mudah baki empat saingan

JOHOR BAHRU: Walaupun kejuaraan Liga Super untuk kali keempat semakin hampir digenggam Johor Darul Ta’zim (JDT) namun pengendali skuad itu, Ulisses Morais enggan mendabik dada tatkala berbaki empat perlawanan yang perlu diharungi.

Bagi pengendali dari Portugal itu kemenangan 2-1 ke atas Perak pada aksi liga, kelmarin nyata amat berbaloi namun mengakui ia perlawanan yang sukar selepas terpaksa bangkit daripada ketinggalan 0-1 pada babak pertama sebelum melakar kemenangan di depan penyokong sendiri.

[AdSense-B]

Katanya, pemain JDT sudah melakukan persiapan begitu rapi untuk pertembungan menentang skuad The Bos Gaurus kerana mereka tahu kemenangan amat diperlukan dan usaha gigih setiap pemain membuahkan hasil dan hanya berbaki satu lagi perlawanan untuk merealisasikan impian menjulang kejuaraan empat musim berturut-turut.

“Walaupun pada babak pertama kami ketinggalan 0-1 dan ia hanya satu keputusan dan kami memperkemaskan corak permainan untuk bangkit bagi memburu kemenangan dan ia berjaya hasil daripada kesungguhan pemain untuk menang pada perlawanan itu.

“Bukan kami tidak memiliki peluang untuk menjaringkan gol terutama pada babak pertama selepas empat peluang terbaik hanya tersasar dan Perak dengan satu peluang menerusi sepakan percuma mereka berjaya menjaringkan gol.

[AdSense-B]

“Sebaik babak kedua bermula, saya melakukan perubahan formasi permainan dan ia beri kesan apabila di awal babak kedua, kita berjaya menjaringkan gol dan tidak lama selepas itu kita menambah jaringan untuk berada dalam keadaan selesa 2-1,” katanya.

Mengulas kecederaan yang dialami Marcos Antonio yang terpaksa dikeluarkan, pengendali dari Portugal itu belum pasti tahap kecederaan yang dialami tonggak benteng skuad Harimau Selatan itu.

Beliau berkata, Antonio akan menjalani rawatan susulan dan keputusan kecederaan yang dialami pemain akan diketahui dalam masa terdekat dan kemungkinan pemain itu tidak dapat beraksi menentang Sarawak pada saingan Piala Malaysia, Sabtu ini.

“Apa pun pemain saya harus dipuji untuk mencipta kemenangan kerana mereka ibarat `pahlawan’ yang dahagakan kejayaan malah saya juga tujukan kemenangan buat penyokong yang menjadi inspirasi buat kami.

[AdSense-B]

“Saya sedar kami hanya perlukan satu lagi kemenangan untuk muncul juara tetapi saya tidak mahu memikirkan dulu kejuaraan kerana tumpuan terarah menentang Sarawak tatkala kami mahu memburu kemenangan pada aksi itu nanti,” kata Morais.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: Liga Super 2017: 5 Perkara Dari Kemenangan 2-1 Keatas Perak

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: