Hariss Vs Kedah 2018

JDT Tidak Pandang Rendah Kemampuan PKNP FC

Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak boleh memandang remeh kemampuan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak FC (PKNP FC) sebaliknya beraksi lebih agresif apabila melayan kunjungan mereka pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Selepas meraih kemenangan pertama dalam saingan liga dan merampas Piala Sumbangsih dengan menewaskan Kedah 2-1, Sabtu lalu, kini skuad Harimau Selatan berdepan tugas getir melayan kunjungan pendatang baru dalam kancah liga elit domestik musim ini.

Pemain tengah, Hariss Harun tidak menganggap ia perlawanan mudah apabila berdepan skuad kendalian Abu Bakar Fadzim yang rata-rata dibarisi pemain muda dan mampu beri ancaman kepada JDT.

“Selepas menang dalam perlawanan pertama, kami perlu berada di tahap kecergasan terbaik tatkala hanya tiga hari untuk memulihkan tenaga dan ia berjalan lancar kerana kami meneruskan latihan seperti biasa untuk berdepan PKNP FC.

“PKNP FC menang pada aksi pertama selepas menewaskan Negeri Sembilan 1-0 dan sudah tentu mereka berada kini bersemangat tinggi dan saya jangkakan ia perlawanan sukar memandangkan kami tidak tahu cara permainan mereka yang pertama kali beraksi di Liga Super.

“Apa pun, beraksi di laman sendiri sudah tentu memberikan kelebihan dan kami mahukan kemenangan kedua namun perlu berwaspada dengan corak permainan pantas PKNP FC yang tampil agresif untuk menidakkan kami memburu kemenangan,” katanya.

Hariss berkata, momentum positif harus diteruskan bagi mengimbangi jadual liga yang panjang selain perlu tenang apabila menentang pasukan lawan yang ingin menewaskan JDT.

Menurutnya, kesemua pemain JDT tahu tanggungjawab dalam pasukan dan ia akan memudahkan tugas ketua jurulatih, Ulisses Morais merencana strategi ampuh sepanjang musim ini.

“Kami mengambil pendekatan mengharungi satu perlawanan setiap masa kerana ia lebih efektif dan mampu membentuk persefahaman mantap. Kami juga bersedia untuk berdepan PKNP FC dan tidak boleh terlalu yakin, sebaliknya beraksi tanpa tekanan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: Analisa Pemain: Corbin Ong vs Kedah, Posisi Bek Kiri Sudah Miliknya?

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: