Kebakaran

Jika Pintu Dan Tingkap Rumah Anda Berjeriji Besi, Baca Ini Sebagai Langkah Keselamatan

Rata-rata punca kematian dalam insiden kebakaran rumah adalah disebabkan mangsa terperangkap di dalam rumah dan gagal menyelamatkan diri disebabkan terkurung di dalam pintu dan tingkap berjeriji besi. Yelah mana tak nya, masa tu mesti dah rasa panik. Nak cari kunci pun rasa tak sempat!

Antara kes yang melibatkan punca kecelakaan yang sama:

1. Kebakaran yang melibatkan pelajar tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah

  • Seramai 23 pelajar terbunuh dalam kebakaran di sebuah sekolah tahfiz di Kuala Lumpur. Punca kebakaran masih dalam siasatan (meskipun sebelum ini disimpulkan kerana litar pintas) dan mereka gagal melepaskan diri gara-gara semua tingkap dipasang jeriji besi dan hanya ada satu pintu untuk keluar dan masuk, lapor Berita Harian.

2. Kebakaran yang melibatkan sebuah keluarga di Subang Jaya

  • Sebuah keluarga maut akibat kebakaran yang tercetus di rumah mereka. Kejadian yang mengorbankan sepasang suami isteri dan dua anak lelaki telah berpunca dari litar pintas dan kesemua mangsa gagal melepaskan diri kerana kesemua pintu dan tingkap dipasang dengan jeriji besi, lapor Astro Awani.

3. Kebakaran yang melibatkan tiga adik beradik di Kelana Jaya

  • Tiga adik-beradik maut dalam tragedi kebakaran yang berlaku di Jalan SS7/16 pada tahun 2001. Punca kejadian adalah disebabkan oleh litar pintas dan ketiga-tiga mereka gagal menyelamatkan diri disebabkan pintu berjeriji besi menjadi penghalang, lapor Utusan Malaysia.

Rata-rata punca kematian apabila berlakunya kebakaran di Malaysia adalah disebabkan tingkap dan pintu jeriji besi. Apabila melihat statistik yang dikumpul pada tahun lalu, sebanyak 44 kematian telah dicatit berlaku akibat punca yang sama.

Sehingga kini Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia belum bercadang mewujudkan undang-undang bagi mewajibkan pemasangan jeriji yang mudah buka di setiap kediaman. Sebaliknya JBPM memilih untuk memberi penekanan dalam mendidik masyarakat tentang langkah berjaga-jaga sebagai cara yang terbaik.

“Kami yakin sekiranya kami ambil tindakan lebih agresif dari segi kempen menggunakan saluran yang betul, sambutan daripada orang ramai akan lebih baik. Jadi cara terbaik seperti yang berlaku di negara-negara lain juga melaluipublic education,” ujar Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.

Oleh itu, JBPM telah menetapkan beberapa langkah-langkah keselamatan bagi mencegah kebakaran daripada berlaku. Antaranya:

1. Keselamatan di dapur

  • Semasa memasak pastikan anda memberi tumpuan sepenuhnya. Pastikan keadaan dapur bersih dan tidak berminyak. Jangan memasak dalam keadaan yang letih atau mengantuk.

2. Ruang alat pemanas

  • Letakkan alat pemanas pada jarak 3 kaki atau satu meter daripada sebarang benda yang mudah terbakar.

3. Perkakas merokok

  • Pastikan bekas abu rokok yang digunakan besar dan lebar. Basahkan bekas tersebut sebelum digunakan lagi dan jangan merokok ketika hendak tidur. Adalah lebih baik jika anda TIDAK MEROKOK di dalam rumah.

4. Mancis dan pemetik api

  • Pastikan bahan seperti mancis dan pemetik api disimpan ditempat yang selamat dan jauhi ia dari kanak-kanak.

5. Elektrik

  • Gantikan wayar yang telah rosak atau terpintal. Sentiasa peka terhadap barangan elektrik yang digunakan seperti peralatan yang berbau, berasap dan terlampau panas. Pastikan juga peralatan elektrik yang anda guna diluluskan oleh SIRIM.

6. Penyediaan alat pemadam api

  • Pastikan anda memiliki sekurang-kurangnya satu pemadam api di dalam rumah.

7. Pemasangan alat pengesan asap

  • Pemasangan alat pengesan asap sedikit sebanyak dapat menolong anda menjadi lebih berjaga-jaga jika berlakunya kebakaran.

Walaupun pemasangan jeriji besi menjadi punca utama kematian bila berlakunya kebakaran, namun pemasangan ia amatlah penting buat aspek keselamatan yang lain. Contohnya, ia dapat menghalang rumah anda dari dipecah masuk dengan mudah.

Maka disebabkan itu anda boleh mempraktikkan langkah-langkah yang disenaraikan oleh JBPM sebagai langkah alternatif. Ingat mencegah dari awal lebih bagus dari menyesal kemudian hari! Sila sebarkan kepada rakan-rakan anda…

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: