Ijazah

Johor Beri Bayaran Pendahuluan RM1,000 Penuntut Ijazah Pertama

KULAI: Kerajaan negeri akan meningkatkan jumlah bayaran insentif daripada RM750 kepada RM1,000 kepada mereka yang berjaya menyambung pelajaran di peringkat ijazah pertama.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, langkah menambah jumlah insentif itu bagi memenuhi manifesto Pakatan Harapan (PH) mengenai pendidikan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kami menyatakan kepada umum bahawa insentif penuntut yang menyambung pelajaran peringkat universiti akan diberikan RM1,000 dan kini ia dikenali Insentif Harapan Siswa.

“Ketika sesi pendaftaran, anak-anak yang mendapat tawaran memasuki universiti akan menerima RM1,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan ke Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) di Jalan Kulai-Kota Tinggi semalam.

Taklimat selama sejam di Bilik Senat Bangunan Pentadbiran KYPJ disampaikan Pengurus Besar KYPJ, Abdul Razak Mohd Saat, selain dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Rashid A Rahman dan Ketua Eksekutif KYPJ, Shahrim Adon.

Mengulas lanjut Aminolhuda berkata, sebelum 2017, penuntut memperoleh bayaran insentif RM1,000 namun ia dikurangkan kepada RM750.

“Justeru, kerajaan PH mengekalkan bayaran RM1,000 yang pernah diberikan sebelum ini kepada mereka yang mendapat tawaran pelajaran di peringkat ijazah pertama,” katanya.

Katanya, bagi mereka yang memperoleh tawaran mengikuti program diploma, jumlah bayaran dikekalkan RM500 seperti dilaksanakan sebelum ini.

Menurutnya, dua agensi yang terbabit dalam menguruskan bayaran itu adalah Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Katanya, 3,000 penuntut disasarkan memperoleh manfaat itu membabitkan 2,000 orang bagi ijazah pertama dan 1,000 orang untuk diploma.

Sumber: Berita HJarian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: