Dzulkefly Amanah

Johor Mansuh Skim KMK Minggu Hadapan

Kerajaan Johor akan memansuhkan skim Kuota Menegak Kerajaan (KMK) dalam permohonan perumahan mampu milik di negeri itu, berkuat kuasa Rabu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dzulkefly Ahmad, berkata kerajaan Johor memansuhkan skim KMK itu berikutan wujud ketidaktelusan dalam pelaksanaannya.

Katanya, kerajaan negeri komited untuk memastikan rumah mampu milik di Johor sampai kepada kumpulan sasaran terutama anak muda yang memerlukan kediaman selesa.

[AdSense-B]

“Selepas mesyuarat EXCO pada Rabu (ini), kita (kerajaan negeri) akan mansuhkan kuota politik atau KMK dalam mengagihkan rumah mampu milik yang berharga RM40,000, RM80,000 dan RM150,000 kerana kuota ini tidak telus, ada unsur rasuah dan salah guna kuasa.

“Skim KMK ini sekadar polisi dan ia boleh selesai (diputuskan) di peringkat mesyuarat EXCO bagi mendapatkan persetujuan (tidak perlu dibawa ke Persidangan Dewan Negeri Johor),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis doa selamat dan berbuka puasa sempena 50 tahun Johor Corporation (JCorp) di Masjid Sultan Iskandar di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang yang juga wakil rasmi Menteri Besar dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

[AdSense-B]

Dzulkefly berkata, beliau juga akan mengadakan pertemuan bagi mendengar taklimat pertama daripada Setiausaha Kerajaan (SUK) Bahagian Perumahan pada hari Ahad ini berhubung perkembangan rumah mampu milik di Johor.

Berdasarkan skim KMK dilaksanakan kerajaan terdahulu, sejumlah rumah mampu milik diperuntukkan sebagai kuota Barisan Nasional (BN) negeri dan permohonan memerlukan surat sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti komponennya.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: