Obor Obor

JTLMJ nafi serangan obor-obor merah di perairan Johor

MERSING: Jabatan Taman Laut Malaysia Johor (JTLMJ) menafikan berlaku serangan obor-obor merah di sekitar perairan negeri ini seperti yang ditularkan dalam media sosial sejak beberapa hari lalu.

Menurut laman rasmi Facebook JTLMJ, pihaknya turut menafikan ada mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya tidak mengunjungi dan mandi di pantai dalam perairan Mersing serta Sedili.

JTLMJ mengeluarkan kenyataan itu berikutan kekeliruan dan kegusaran pelbagai pihak selepas berita palsu berhubung serangan obor-obor merah berkenaan tersebar dalam kalangan penduduk daerah terbabit.

Jabatan itu juga menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai yang mahu mendapatkan kesahihan perkara berkenaan.

Sebelum ini, tular berita mendakwa JTLMJ dan pihak hospital mengeluarkan amaran berkaitan serangan obor-obor merah di pantai.

Antara lokasi tumpuan yang kononnya dikenal pasti berlaku serangan obor-obor boleh menyebabkan kematian itu ialah pantai Bandar Mersing, pantai Telok Buih, Air Papan, Tanjung Leman, Sedili, Desaru dan Tanjung Balau.

Berita palsu disebarkan turut mendakwa Pengarah Taman Laut dan pengarah hospital sudah melakukan kajian di lokasi serangan terbabit dan mendapati wujud fenomena obor-obor merah berbisa serta kononnya mengesahkan seorang mangsa wanita dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: