Hazwan Puas Hati

Kemenangan Buat Pasukan Adalah Lebih Penting – Hazwan Bakri

Selepas sering dibayangi kelibat tonggak import Mohamad Ghaddar dalam skuad Johor Darul Ta’zim (Johor DT), penyerang kebangsaan Ahmad Hazwan Bakri seolah melepaskan geram dalam aksi final Piala Malaysia apabila membantu kelabnya menewaskan Kedah 2-0 untuk menjulang trofi berprestij itu di Stadium Shah Alam malam tadi.

Walaupun tidak mencetak nama selaku penjaring, sumbangan Hazwan sepanjang 90 minit perlawanan itu cukup besar apabila kerap memecah masuk benteng lawan yang gagal menyekat kelincahannya.

Malah, gol kedua skuad Harimau Selatan pada minit ke-63 berpunca daripada gerakan bekas penyerang Selangor itu yang bijak melepasi halangan pertahanan kanan Kedah, Arif Farhan Md Isa sebelum membuat hantaran untuk Gonzalo Cabrera meledak jaringan.

“Saya sudah lama tak bermain kerana selalu berada di bangku simpanan dan apabila jurulatih memberi peluang jadi saya gunakan sebaik mungkin untuk membantu kelab mencari gol.

“Alhamdulillah, saya puas hati dengan prestasi malam ini (malam tadi), biarpun tak dapat jaringkan gol tapi kemenangan buat pasukan adalah lebih penting.

“Saya harap dapat kekalkan permainan seperti ini. Inilah diri saya yang sebenar,” katanya ketika ditemui di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Skuad kendalian Ulisses Morais nyata menepati ramalan apabila merangkul kejuaraan Piala Malaysia buat kali pertama sekali gus membuktikan mereka raja bola sepak tanah air ketika ini.

Dua gol pada setiap babak menerusi jaringan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak (minit kedua) dan Cabrera memastikan skuad Harimau Selatan itu meraih gelaran kedua musim ini selepas menjuarai Liga Super buat kali keempat berturut-turut.

Dia yang pernah mengecapi detik gemilang ketika membantu skuad Red Giants menamatkan ‘misi 33’ pada musim 2015, mahu meneruskan aksi cemerlang bersama pasukan Harimau Malaya yang dijadualkan menentang Korea Utara dalam aksi Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 di Buriram, Thailand pada 10 dan 13 November ini.

“Saya akan mula sertai kem negara pada Isnin ini sebagai persediaan menentang Korea Utara. Tentunya saya mahu bermain seperti final ini dan membantu Malaysia mencapai kemenangan,” kata pemain kelahiran Labuan itu.

Sumber: Harian Metro

Baca juga: Aidil Kecewa Gagal Beraksi Penuh 90 Minit Pada Final Piala Malaysia


Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: