Tnb

Lebih 10,000 penduduk terjejas akibat gangguan bekalan elektrik

JOHOR BAHRU: Beribu-ribu pengguna jalan raya di bandar raya ini tersangkut apabila hampir semua lampu isyarat tiba-tiba gagal berfungsi akibat ketiadaan bekalan elektrik, sebentar tadi.

Lebih malang, kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari ketika kebanyakan penduduk keluar mengambil anak pulang sekolah atau pergi berehat tengah hari.

Hanya satu kes terperangkap di dalam lif dilaporkan, namun tidak membabitkan kecederaan.

Jurucakap bomba dan penyelamat ketika dihubungi berkata, pihaknya sehingga kini hanya menerima satu panggilan kecemasan pengguna tersangkut di dalam lif.

Bagaimanapun, katanya, semua mangsa berjaya diselamatkan kakitangan penyelenggaraan lif sebelum bomba tiba.

Sementara itu, Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor, Datuk Baderul Sham Saad, berkata gangguan berlaku di seluruh pusat bandar raya hingga ke Tampoi dan sebahagian Tebrau.

Katanya, gangguan berlaku pada jam 1.04 tengah hari apabila berlaku kerosakan di satu pusat bekalan.

“Kami masih menyiasat punca kejadian dan cara terbaik untuk mengatasinya.

“Buat masa ini, kami belum pasti punca sebenar namun mengenal pasti kawasan terjejas iaitu keseluruhan bandaraya Johor Bahru, Tampoi dan sebahagian Tebrau,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menjangka lebih 10,000 pengguna terjejas dengan kejadian itu namun memberi jaminan akan membaiki kerosakan secepat mungkin.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: