Kalai Jdt

Lelaki Ini Sanggup Menghabiskan RM25 Ribu Demi Cinta Kepada JDT Dan Juga Johor

Ketika saingan Liga Malaysia berehat untuk memeberi laluan kepada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, penulis ingin membawa pembaca kepada perkara menarik di luar padang. Kali ini penulis ingin mengajak pembaca mengenali seorang peminat tegar pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang di pilih sebagai Penyokong Pilihan Semuanya JDT.

Pada 27 Julai 2017 yang lalu, selepas pihak kami berkongsi tentang sesi Sembang Santai Penyokong bersama DYAM Tunku Mahkota Johor sebagaimana yang diupload oleh “Johor Southern Tigers”, pihak kami menerima satu ‘message’ di dalam ‘inbox’ kami.

Message tersebut menunjukkan keinginan beliau untuk hadir ke sesi sembang santai berikut disamping berkongsi sesuatu miliknya bersama rakyat Johor dan penyokong Johor Darul Ta’zim.

Bermula daripada ‘message’ melalui aplikasi ‘messenger’ tersebut, penulis mula menemubual pemilik laman muka buku yang menggunakan nama ‘Vijay Kelvin.

PENGENALAN

kalai jdt gambar asal kereta

Rupa kereta sebelum ditampal sticker dan dipasang lampu LED

Seorang pemuda berketurunan india yang bernama Kalaichelvan a/l Thangiah atau lebih dikenali dengan nama “Kalai JDT” dikalangan rakan-rakannya merupakan anak kelahiran Johor Bahru yang menetap di sebuah perkampungan melayu di kawasan Kampung Kastam.

Pemuda yang berusia 41 tahun ini menunjukkan minatnya yang mendalam terhadap pasukan JDT dengan mengekspresikannya pada kenderaan milik beliau. Sebuah kereta jenis “Proton Iswara Aeroback” menjadi tempat beliau meluahkan rasa cinta beliau terhadap negeri Johor dan Pasukan JDT.

HAMPIR RM 25,000 DIHABISKAN

Melalui sesi temubual, penulis bertanyakan kepada Encik Kalai tentang jumlah wang yang dihabiskan beliau untuk menghias kereta beliau. Menurutnya, setakat ini beliau telah menghabiskan kira-kira RM 25,000 untuk meletakkan ‘sticker’ berunsur negeri Johor dan pasukan JDT dan juga lampu-lampu LED di sekeliling kereta beliau.

Menurut Encik Kalai juga, lampu-lampu LED dan pendawaian lampu tersebut perlu kerap diselenggara kerana ianya mudah rosak apabila terlalu panas. Walaubagaimanapun, ianya tidak menjadi pengahalang buat Encik Kalai meneruskan minatnya.

TAHUN 2014 BERMULANYA MINAT

Encik Kalai mula memilih ‘sticker’ yang berunsur JDT sebagai hiasan di keretanya pada tahun 2014 selepas pasukan JDT menunjukkan kebangkitan dalam bola sepak tanah air. Kebangkitan pasukan JDT yang di asaskan oleh Tunku Mahkota Johor mendorong Encik Kalai untuk menterjemahkan sokongan beliau melalui keretanya.

Pada asalnya, kereta ‘Iswara Aeroback’ beliau hanyalah berwarna hijau 2k. Beliau memulakan minatnya dengan menampal logo JDT disamping lambakan bendera negeri Johor pada keretanya. Apa yang dilakukan beliau pada awalnya sering diperlekehkan oleh rakan-rakannya.

Namun beliau tidak ragu-ragu untuk meneruskan minat tersebut. Dari masa ke semasa ‘Iswara Aeroback’ itu mula menampakkan perubahan demi perubahan. ‘Sticker’ berunsur harimau mula ditampal bagi menampakkan identiti pasukan harimau selatan.

Gambar DYMM Sultan Johor dan Tunku Mahkota Johor juga ditampal pada pintu kereta Encik Kalai. Dua individu penting tersebut menjadi inspirasi Encik Kalai dalam menunjukkan semangat beliau.

PENCAPAIAN ENCIK KALAI JDT BERSAMA KERETANYA

Disamping mengekspresikan semangat beliau pada keretanya, Encik Kalai juga menyertai beberapa pertandingan yang melibatkan kereta beliau.

Antara pencapaian beliau adalah Johan “Best Lighting” ketika Festival Hari Keputeraan DYMM Sultan Johor 2017, Johan “Open Lighting Car” dan “Best Sticker” Autoshow Bazar Sentral Negeri Sembilan, “Best Lighting” sempena Hari Belia dan Larian Obor Sukan Sea 2017 dan beberapa kejayaan lain lagi.

Selain daripada itu, kereta En. Kalai juga pernah mengisi ruang di dalam akhbar berbahasa cina “Sin Chew Jit Poh”, Harian Metro dan juga beberapa majalah kereta.

Beliau juga terpilih untuk menyertai perarakan Hari Kemerdekaan Malaysia peringkat negeri Johor pada 31 Ogos nanti di Pasir Gudang.

KEPUASAN YANG TIDAK TERHINGGA

Apabila ditanya penulis tentang apakah beliau berasa berbaloi dengan pengorbanan wang ringgit yang telah beliau lakukan, Encik Kalai menjawab dia hanya ingin membawa nama JDT dengan keretanya. Niat utama beliau adalah agar dapat menarik golongan muda untuk kenal dan meminati pasukan JDT.

Pada setiap perlawanan yang berlangsung di Stadium Larkin, Encik Kalai akan membawa keretanya di sekeliling kawasan Larkin dengan bangganya. Sekiranya tiada perlawanan di Larkin, beliau akan meronda-ronda dari Kulai sehinggalah ke Dataran Bandaraya.

Kalai JDT piala dan Sijil

Sijil dan piala yang diterima

Beliau juga memaklumkan bahawa kereta beliau adalah bukan semata-mata untuk pertandingan. Encik Kalai lebih mengutamakan kereta beliau buat tontonan umum tanpa mengenakan sebarang bayaran, walaupun hakikatnya beliau telah menghabiskan ribuan ringgit.

Pada Encik Kalai, beliau berasa bangga dan puas apabila keretanya dipertontonkan dengan membawa nama negeri Johor. Kepuasan ini bertambah apabila beliau membawa kereta tersebut keluar dari Johor. Darah yang mengalir dalam bandan Encik Kalai sebenarnya darah seorang bekas anggota polis pada zaman darurat dahulu.

Oleh yang demikian, secara tidak langsung naluri ingin berbakti kepada negeri Johor yang dicintai timbul. Dengan itu beliau mengekspresikan semangat beliau memalui kereta. Jiwa sebagai anak Johor cukup menebal dalam diri beliau.

IMPIAN YANG BELUM TERCAPAI

Di sebalik semangat beliau dalam mencintai Negeri Johor dan pasukan JDT, Encik Kalai menanam impian untuk bertemu dan bersalam dengan DYMM Sultan Johor dan Tunku Mahkota Johor.

Impian utama beliau adalah untuk membawa ayahandanya seorang bekas polis pada zaman darurat yang telah berusia 85 tahun untuk bertemu individu utama dalam mentadbir Negeri Johor. Impian tersebut hampir tercapai ketika ‘Johor Southern Tigers’ mengumumkan sesi Sembang Santai tempoh hari.

Namun penundaan di saat akhir sedikit mengecewakan Encik Kalai yang telah tiba ke JDT Café pada hari tersebut. Walau bagaimanapun Encik Kalai tidak akan berputus asa untuk memenuhi impian beliau. Beliau sedia mengunggu tarikh baru untuk sesi Sembang Santai akan datang.

KESIMPULAN

Penulis sebagai wakil Semuanya JDT.com memilih Encik Kalai sebagai penyokong pilihan berdasarkan semangat beliau dalam membawa nama Negeri Johor dan Pasukan JDT. Jiwa sebagai anak Johor cukup menebal dalam diri beliau harus dijadikan contoh kepada penyokong yang lain.

Ini adalah cara Encik Kalai menunjukkan semangat beliau. Bagaimana pula dengan anda?

Baca juga: Kalendar Kejohanan Bola Sepak 2018 Yang Dikemaskini Oleh Asian Football Confederation (AFC)


Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: