Kastam

Lewat Buka Kaunter, Main Telefon Punca CIQ Sesak

MUAR: Lewat membuka kaunter pemeriksaan dan bermain telefon pintar ketika bertugas antara masalah disiplin dilakukan segelintir kakitangan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru sehingga sering berlaku kesesakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Pengangkutan Johor, Mazlan Bujang, berkata maklum balas itu dikemukakan pelbagai pihak berkepentingan pengurusan CIQ dalam lawatan dan dialog yang diadakan minggu lalu.

Sehubungan itu, pihaknya akan menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas dipengerusikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng, bagi memantau operasi CIQ selain memberi cadangan penambahbaikan.

“Masalah disiplin segelintir kakitangan operasi CIQ termasuk lewat membuka kaunter akibat datang lewat sehingga kaunter terpaksa ditutup selain bermain telefon pintar ketika bertugas, antara punca menyebabkan kesesakan CIQ.

“Ini adalah tuduhan yang serius terhadap isu disiplin kakitangan. Tidak ada gunanya untuk menyalahkan mana-mana pihak kerana terdapat banyak agensi yang beroperasi di CIQ dan ia saling berkait.

“Kita perlu memperbaiki keadaan di CIQ untuk memastikan dapat membantu mengurangkan kesesakan yang sering menjadi rungutan pengguna,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka ADUN Gambir, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Dalam Negeri, di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, hari ini. .

Mazlan berkata, antara cadangan yang disyorkan ialah meletakkan kamera litar tertutup (CCTV) di semua kaunter Imigresen di CIQ, bukan saja bagi pemantauan sebaliknya lebih kepada aspek keselamatan negara.

Tambah beliau, antara isu yang sering diketengahkan bagi mengatasi kesesakan di CIQ termasuk mempunyai lebih ramai kakitangan, gantri, bonggol dan CCTV.

Selain Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) juga menghadapi masalah kerana tidak mempunyai mesin pengimbasan mencukupi di CIQ manakala mesin pengimbas sedia ada sering rosak, sekali gus menyebabkan kesesakan.

Mazlan berkata, antara penyelesaian yang disarankan bagi mengatasi masalah kesesakan CIQ termasuk kakitangan yang mempunyai masalah disiplin ditukarkan selain meminta bajet tambahan daripada kerajaan pusat bagi menambah lebih banyak lorong pemeriksaan.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: