Mario Gomez Jdt

Liga Malaysia Ibarat Saingan EPL Asia Tenggara – Mario Gomez

MUNGKIN tidak keterlaluan untuk mengatakan kemeriahan Liga Malaysia (Liga M) khususnya Liga Super antara salah satu elemen penting membuatkan Mario Gomez tidak boleh melupakan pelbagai memori di negara ini.

Tiba ke Malaysia dengan dilantik sebagai jurulatih kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2015, Gomez, 60, telah menikmati pelbagai kejayaan bersama skuad Harimau Selatan menjulang Liga Super dan Piala Sumbangsih selain trofi terbesar – Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sepanjang dua tahun di Larkin.

[AdSense-B]

Gomez yang tidak membim­bing mana-mana kelab sejak meninggalkan JDT pada Mac lalu, telah mendapat pelbagai tawaran dari kelab di Thailand dan Indonesia, tetapi ia masih belum cukup untuk meyakinkan pengendali kelahiran Argentina itu menyertai mereka.

Ini kerana bekas jurulatih South China tersebut mendedahkan beliau masih menanti dan berminat untuk membuat penampilan di Malaysia ke­rana Gomez menyifatkan Liga Super boleh dianggap sebagai Liga Perdana England (EPL) versi Asia Tenggara.

“Kamu tidak boleh melupakan suasana di sini (Malaysia), liga mereka benar-benar menakjubkan. Saya telah merasai kesemua itu ketika bersama JDT. Saya sangat gembira sepanjang berada di Johor dan mereka memberikan layanan terbaik buat saya.

“Baik pihak pengurusan mahupun para peminat, Johor (JDT) adalah yang terbaik. Memori ketika berada di Larkin adalah satu pengalaman cukup manis sepanjang karier saya.

[AdSense-B]

“Liga Super umpama EPL, mungkin EPL versi Asia Tenggara. Itulah antara salah satu sebab mengapa saya masih berminat untuk beraksi di Malaysia. Saya sanggup tunggu biarpun mendapat tawaran daripada Thailand dan Indonesia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Mar del Plata, Argentina semalam.

Dalam perkembangan sama, Gomez mendedahkan bahawa beliau telah dihubungi seorang ejen dari pasukan Liga M, tetapi enggan menamakan pasukan tersebut memandangkan tiada tawaran rasmi diserahkan kepadanya.

Pun begitu, Gomez mengakui sudah tidak sabar untuk membuat penampilan semula di Malaysia khususnya pasukan yang bersaing di Liga Super tahun depan.

“PKNS FC (kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor)? Saya tidak tahu, tetapi saya suka kemungkinan itu (menyertai PKNS FC). Ada ejen menghubungi saya untuk mengetahui minat saya menjadi jurulatih di Malaysia.

[AdSense-B]

“Buat masa ini, tiada tawaran rasmi dari kelab-kelab tersebut dan saya tidak mahu menamakan pasukan itu memandangkan ia masih belum lengkap.

“Namun, boleh disahkan saya sememangnya berminat untuk melatih pasukan di Liga M dan menunggu tawaran rasmi daripada mereka sahaja,” katanya.

Sumber: Kosmo

Baca juga: JDT Akan Mendapatkan Dua Import Dan Empat Pemain Tempatan Baru Untuk Musim 2018

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: